FAKTA menunjukkan Kerajaan Perpaduan yang diterajui Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim didominasi DAP adalah tidak tepat.

Perkara itu dijelaskan bekas pemimpin PAS Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali yang berkata, seramai 73 Ahli Parlimen dalam Kerajaan Perpaduan merupakan kaum Melayu dan beragama Islam.

“Ada pihak menyatakan kerajaan baru didominasi oleh DAP. Tapi angka menyangkal kenyataan tersebut. Faktanya ialah Kerajaan Perpaduan didominasi oleh 73 Ahli Parlimen Melayu Islam.

“Pecahannya ialah 26 Barisan Nasional (BN), 18 PKR, 11 Gabungan Parti Sarawak (GPS), sembilan Amanah, tiga Gabungan Rakyat Sabah (GRS), tiga Warisan, tiga DAP dan satu MUDA,” katanya di Facebook, hari ini.

Khairuddin yang gagal mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Nerus pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) lalu berkata, Dewan Rakyat akan terus menyaksikan jumlah Ahli Parlimen Melayu melebihi kaum lain apabila dicampur 72 Ahli Parlimen Melayu dari Perikatan Nasional (PN).

“Barisan pembangkang daripada PN pula mempunyai 72 Ahli Parlimen Melayu Islam.

“73 vs 72 Melayu Islam. Menjadi kewajipan 73 Melayu Islam ini memastikan Kerajaan Perpaduan dipayungi oleh Islam, Melayu dan Raja-Raja Melayu dan 72 daripada PN berkewajipan menjadi pembangkang yang melaksanakan semak dan imbang,” katanya.

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *