DAP sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana parti termasuk Umno demi mecapai kebaikan buat rakyat, kata setiausaha organisasinya, Anthony Loke.

Katanya, DAP sentiasa terbuka untuk mencari konsensus dengan mana-mana parti, sama ada dalam satu gabungan atau gabungan yang lain.

“Politik itu dinamik,” kata bekas menteri pengangkutan itu dalam program “Consider This” yang disiarkan Astro Awani malam tadi.

“Kami tidak menutup pintu kerjasama di masa hadapan namun pada masa sekarang, pendirian kami jelas berhubung beberapa pemimpin dalam Umno,” kata Loke merujuk kepada pemimpin-pemimpin Umno yang berdepan dengan dakwaan rasuah di mahkamah atau yang disabitkan bersalah.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi pada ketika ini berdepan dengan 47 pertuduhan – 12 berhubung pecah amanah, lapan berkaitan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram.

Sementara bekas perdana menteri, Najib Razak sudah disabitkan bersalah dalam kes SRC International dan dijatuhkan hukuman penjara dan denda tetapi hukuman ditangguhkan sementara menunggu proses rayuan.

Loke berkata, perlu ada keberanian daripada kedua-dua DAP dan Umno untuk duduk berbincang.

“Apabila saya bersembang dengan rakyat, ada yang memberi pandangan bahawa untuk mewujudkan kestabilan, dua parti yang mempunyai perwakilan terbesar di Parlimen, iaitu Umno dan DAP perlu duduk semeja dan berbincang.

“Namun, ingin saya ingatkan bahawa perkara ini memerlukan keberanian, bukan sahaja dari satu pihak tetapi kedua-dua pihak. Adakah Umno bersedia untuk duduk semeja dan berbincang?” soal Loke.

By admin

Leave a Reply

Your email address will not be published.