Malaysia bakal mengalami ‘musim sejuk’ yang dijangka akan berlaku hingga Februari tahun hadapan. Difahamkan bahawa purata suhu harian negara dilaporkan akan berada pada tahap antara 22 hingga 30 darjah Celsius.

Timbalan Ketua Pengarah (Strategik dan Teknikal) Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata fenomena cuaca sejuk berlaku susulan Monsun Timur Laut (MTL) yang melibatkan perubahan angin sejuk dari tanah besar China dan juga pembentukan awan hujan yang berterusan bermula awal November.

“Jadi apabila awan hujan banyak, dari segi pancaran matahari agak terlindung yang menyebabkan suhu akan lebih rendah berbanding tempoh masa yang lain,” katanya kepada Bernama sambil menambah bahawa kawasan pendalaman tanah rata seperti di Kelantan, Pahang dan Perak akan menjadi lebih sejuk berbanding kawasan lain.

“Sebelum ini, suhu di kawasan pedalaman Kuala Krai, Kelantan pernah dicatat antara 17 dan 18 Celsius pada 2014. Jadi, berkemungkinan di kawasan tersebut boleh berlaku lagi (suhu serendah itu),” katanya.

Untuk rekod, ini bukanlah kali pertama Malaysia pernah mengalami musim sejuk seperti ini. Tahun lalu, pakar memberi amaran bahawa musim sejuk yang dialami oleh Malaysia ini sebenarnya tidak selamat kerana bakal dilanda dengan banjir kilat.

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *