SEBUAH jenama pakaian dari Australia yang mencetak kalimah Allah SWT di atas baju dan digayakan ketika Pertunjukan Fesyen Melbourne, mengundang kritikan kerana tidak menghormati agama Islam.

Pendakwah selebriti, Syed Mohd Bakri Syed Ishak atau dikenali sebagai PU Syed, berkata kalimah Allah tidak boleh dicetak sewenang-wenangnya pada sesuatu benda apatah lagi untuk digayakan pakaian yang tidak senonoh.

“Tindakan mencetak kalimah Allah pada pakaian dan yang mendedahkan aurat itu seolah-olah satu penghinaan kepada Islam itu sendiri.

“Malah, di negara kita kalau mahu membuat perhiasan ayat-ayat atau kalimah Allah itu sendiri perlu mendapatkan pengesahan daripada pihak berautoriti untuk meluluskannya,” katanya memetik laporan Kosmo!.

PU Syed berkata, perkara-perkara seperti itu jelas salah dan menentang apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan dalam agama Islam.

“Perbuatan ini jelas salah, apatah lagi dibuat oleh orang bukan Islam. Mereka tidak boleh sesuka hati menggunakan kalimah Allah seperti itu,” ujarnya lagi. Min

Beliau turut menasihatkan pereka fesyen tempatan yang beragama Islam untuk tidak mengeluarkan pakaian-pakaian yang secara terang-terangan menentang syariah Allah SWT.

“Apabila pakaian yang dibuat oleh orang Islam, digayakan juga oleh orang Islam, ia secara terang-terangan telah menentang syariah Allah SWT.

“Agama suruh menutup aurat tetapi kita mengenalkan pakaian yang menyebabkan orang mendedahkan aurat mereka. Ini semua menentang syariah,” katanya.

Sebelum ini, jenama pakaian Australia bertindak biadap apabila mencetak nama Allah di atas baju yang diperagakan ketika Pertunjukan Fesyen Melbourne, Sabtu lalu.

Jenama pakaian itu mempamerkan dua reka bentuk persalinan dalam pertunjukan terakhir festival itu, iaitu satu daripada rekaan menampilkan seorang model memakai ‘jumpsuit’ tanpa lengan diperbuat daripada fabrik lutsinar dengan tulisan Arab bertulis ‘Allah berjalan bersama saya’ di seluruh badannya.

Kepala, leher dan telinga model itu juga ditutup dengan kain sama, dianggap oleh sesetengah orang sebagai menyamai tudung atau hijab, pakaian yang dipakai Muslimah.

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *