KUALA LUMPUR: Dinding pemisah antara agensi-agensi kerajaan dan rakyat perlu diruntuhkan supaya segala permasalahan dapat diselesaikan secara bersama.

Itu perjuangan calon Perikatan Nasional (PN) P.108 Shah Alam, Dr. Afif Bahardin yang mahu dibawa ke Shah Alam daripada tempoh cemerlangnya berkhidmat sebagai ADUN Seberang Jaya selama dua penggal.

Setiap agensi kerajaan tidak boleh bekerja dalam kepompong sendiri dan harus saling melengkapi supaya masalah ditangani dengan cekap – apabila bercakap tentang Shah Alam, masalahnya tidak lain – bekalan air dan banjir.

“Sepanjang 10 tahun saya berkhidmat di sana, saya telah bekerja dengan semua agensi untuk mencari solusi bagi menyelesaikan masalah banjir di kawasan saya antaranya di Permatang Rawa dan Seberang Jaya.

“Ia bukan soal peruntukan atau projek, tetapi setiap agensi baik Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), kerajaan negeri dan Persekutuan, Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS), NGO, pihak swasta serta masyarakat perlu duduk sekali bincang bagaimana kita mencari solusi.”

Bercakap dalam program Agenda AWANI Khas Malaysia Memilih pada Sabtu, Dr. Afif memaklumkan bahawa pihaknya sudah mula berjumpa dengan JPS dan dimaklumkan tentang beberapa fasa perancangan naik taraf Sungai Damansara dan penyelesaian banjir di Sri Muda dan Kota Raja.

Begitupun tegas beliau, walaupun sudah ada peruntukan untuk projek-projek tersebut dilaksanakan, perlunya komiten kerajaan dan beliau akan memastikan bajet itu benar-benar disalurkan untuk projek tersebut.

Pada masa sama, Dr. Afif juga mahu memberi tumpuan untuk menjadikan Shah Alam bandar yang kalis masa depan, yang diumumkan dalam manifestonya untuk dinilai pengundi kawasan ini.

“Jadi ini memerlukan kerjasama semua pihak, sebab itu tema yang saya bawa ini sebenarnya adalah inklusiviti.

“Saya nak ajak semua warga Shah Alam berhubung dengan saya, jadikan saya sebagai platform untuk saya berhubung dengan agensi dan kerajaan untuk kita dapatkan maklumat, peruntukan dan penyelesaian bagi masalah-masalah yang dihadapi warga Shah Alam.”

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *