Calon perdana menteri daripada PH lebih jelas berbanding calon daripada Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).
Ketua Penyelidik O2 Research Malaysia, Anis Anwar Suhaimi berkata, perkara tersebut adalah trend dapatan kaji selidik Suara Rakyat Malaysia Menuju PRU15 setakat ini.
Menurutnya, hal itu dipercayai dipengaruhi oleh perebutan kuasa dalaman parti yang sedang berlaku dalam BN dan PN.
“Dahulu apabila sebuah kerajaan atau BN ketika itu menjadi kerajaan dalam 60 tahun, kekuatan mereka adalah mereka ada satu bayangan atau struktur pentadbiran yang jelas, siapakah calon perdana menteri yang akan ditawarkan pada PRU seterusnya.
“Waktu itu barisan pembangkang belum capai kata sepakat. Maka itulah isu yang sering digunakan untuk melawan kepada pembangkang siapakah tawaran perdana menteri yang mereka boleh calonkan.
“Tapi hari ini agak terbalik apabila pembangkang bermula daripada Pakatan Rakyat (PR), mereka sudah mula ada satu kesefahaman dan ini diteruskan pada Pakatan Harapan (PH). Oleh itu mereka ada satu nama yang jelas, iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Oleh itu bila kita buat kaji selidik, kita menamakan seramai mungkin pemimpin nasional. Ketika ini kita lihat bahawa pengundi PH jelas, siapakah pemimpin yang mereka akan dapat jika parti mereka menang,” katanya ketika menjadi panelis dalam Program Sinar Live ‘Suara Rakyat Malaysia Menuju PRU15’ disiarkan secara langsung di platform digital Sinar Harian pada Khamis.
Progam dikendalikan oleh Hazwan Mokhtar dan Fahiz Ariff itu turut menampilkan Pengarah Eksekutif ILHAM ACentre, Hisommudin Bakar dan Pengerusi Pusat Kajian Sosial & Polisi, Tun Tan Cheng Lock, UTAR, Profesor Madya Dr. Chin Yee Mun sebagai panelis. SH