Shahidan Kassim mendakwa Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno Tajuddin Abdul Rahman cuba membuat gerakan menjatuhkan Ahmad Zahid Hamidi sebagai presiden parti pada tahun lalu.
Pengerusi Umno Perlis itu mendakwa, usaha itu menerusi langkah mengumpul tandatangan lebih 80 ketua Umno bahagian untuk menggugat jawatan Ahmad Zahid.
“[..] Yang paling bodoh ini Tajuddinlah kerana dia pernah buat gerakan ambil tandatangan ketua bahagian untuk jatuhkan presiden (Ahmad Zahid).
“Dia kumpul tandatangan bermula tahun lepas sebelum dilantik jadi pengarah pilihan raya. Lebih 80 bahagian tandatangan dia kumpul untuk jatuhkan presiden,” dakwanya.
Tajuddin dilantik menjadi pengarah pilihan raya Umno sejak 4 November tahun lalu.
Seorang sumber dalaman Umno turut membuat dakwaan tersebut.
“Dia (Tajuddin) panggil ketua-ketua bahagian, kumpul di rumah dia untuk tandatangan SD (akuan berkanun untuk menolak Zahid),” katanya yang merupakan ahli MT Umno.
Mendakwa pertemuan itu berlaku sebelum PRN Sabah, dia berkata Tajuddin bertindak sedemikian kerana tidak puas hati tidak diberi jawatan dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN), dan menganggap Zahid sebagai presiden yang lemah.
Shahidan dan Tajuddin kini bertelagah berhubung isu kerjasama Umno dan Bersatu dalam PRU akan datang.
Terdahulu Tajuddin berkata kenyataan Shahidan bahawa keputusan untuk keluar daripada kerajaan PN terletak di tangan setiap anggota parlimen dan bukan MT, sebagai bodoh.
Dakwa Shahidan lagi, usaha menjatuhkan Zahid mungkin terhenti setelah Tajuddin dilantik menjadi pengarah pilihan raya Umno.
“Selepas dapat (jawatan itu), tak tahu dia masih (kumpul tandatangan) atau tidak,” katanya, sambil menyifatkan ahli Parlimen Pasir Salak itu tidak wajar diberi jawatan tersebut.
“Entah apa dia sembang dengan presiden sampai jadi pengarah pilihan raya.Kalau nak lawan, lawan waktu pemilihan parti.
“Itu semua Tajuddin yang buat. Saya tak buat gerakan. Kalau dia kata saya bodoh kerana kononnya menyokong PN, dia lagi bodoh lawan presiden,” dakwanya lagi.