PRO PRESIDEN LABEL MB SELANGOR & 8 DUN PENGKHIANAT KEADILAN
KUALA LUMPUR: Kumpulan pro Anwar yang dikenali Gerakan Reformasi 98 atau Gerak98 dan Otai Reformis menggesa Menteri Besar, Amirudin Shari dan 8 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor yang didakwa menyokong Mohamed Azmin Ali tidak bertanding pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
Ketua Gerak98, Mohamad Ezam Md Nor, berkata ini bagi memberi laluan kepada muka baharu dan menunjukkan mereka betul-betul memperjuangkan semangat reformis.
“Matlamat kita kumpul hari ini untuk menyelamatkan Selangor daripada pengkhianatan seperti mana ‘Langkah Sheraton’.
“Ini termasuk kepada pimpinan parti negeri sekarang, pada hemat kami yang pernah bersama Azmin Ali. Mereka tidak perlihatkan tanda benar-benar sudah tinggalkan Azmin,” katanya pada sidang media bersama Otai Reformis.
Ezam berkata, Amirudin dan 8 ADUN Selangor itu didakwa tidak pernah mengkritik Azmin.
Beliau mendakwa, ‘orang-orang’ Azmin masih diberikan jawatan tertinggi di Selangor.
“Tidak ada kenyataan keras pada Azmin di Gombak. Saya turun lebih empat kali.
“Malah ramai orang Azmin diberikan posisi penting. ‘Orang-orang’ anti Azmin tak diberi posisi (jawatan) di GLC dan kerajaan negeri,” katanya.
Ezam yang juga bekas setiausaha politik Anwar berkata, desakan untuk tidak bertanding itu hanya bagi PRU15 sahaja.
Katanya, selepas PRU15 mereka boleh bertanding semula atau diberikan jawatan dalam parti atau kerajaan negeri.
Beliau menegaskan akan bertanding melawan Amirudin pada PRU15 jika menteri besar Selangor itu masih dicalonkan di DUN Sungai Tua.
Katanya, jika Amirudin bertanding di Sabak Bernam atau Tanjung Karang yang bukan kerusi kuat PKR, beliau tidak akan melawan.
“Saya ambil sikap terbuka dengan suara akar umbi dan sekiranya perlu, saya sedia (melawan Amirudin),” katanya belum memutuskan untuk bertanding bawah tiket PKR atau Bebas.
Anwar calon PM
Sementara itu, Ezam bersetuju dengan keputusan Pakatan Harapan (PH) sebulat suara mengangkat Anwar mengetuai jentera gabungan itu bagi PRU15, sekali gus menjadi calon perdana menteri PH.
Bagaimanapun, beliau mengigatkan Anwar perlu dihormati sebagai ketua.
“Itu bermakna kena hormati sebagai dan bukan seperti sebelum ini dalam PH. Walaupun sebut Anwar sebagai ketua, tetapi masih dengar lagi Dr Mahathir Mohamad dan bagi ruang lagi pada Mahathir untuk serang,” katanya.
https://www.facebook.com/103762934325807/posts/507143630654400/