Sekumpulan ahli Parlimen pembangkang sedang merancang untuk berhimpun di bangunan Parlimen bagi menggesa sidang Dewan Rakyat dilaksanakan sepanjang pelaksanaan darurat.
Sekurang-kurangnya tiga ahli Parlimen dari Pakatan Harapan berkata mereka memang dimaklumkan mengenai rancangan itu dan kini usaha sedang dijalankan bagi menghubungi blok pembangkang yang lain.
Turut dimaklumkan beberapa pilihan sedang dipertimbangkan bagi mengelak daripada apa-apa tindakan untuk cuba menghentikan mereka daripada berhimpun di Parlimen.
Ini termasuk mendesak Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin mengadakan taklimat kepada semua ahli Parlimen mengenai Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di bangunan Parlimen.
Khairy sebelum ini dilaporkan menghantar surat makluman kepada Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim mengenai tarikh dan tempat taklimat PICK kepada pemimpin utama gabungan politik itu.
Pemimpin PH bagaimanapun mendesak taklimat tersebut diberikan kepada semua ahli Parlimen termasuk yang bukan daripada gabungan tersebut.
“Ini adalah satu perkara yang kami bincang dengan Speaker Dewan Rakyat Azhar Harun sewaktu mesyuarat minggu lepas,” kata seorang ahli Parlimen kanan.
“Mereka sekarang ini sedang giat menghubungi semua ahli Parlimen, katanya ada lebih dari 100 orang bersama pihak mereka,” kata ahli Parlimen itu lagi.
Sementara itu, difahamkan pegawai PH turut memaklumkan mengenai perhimpunan itu kepada media tempatan dan luar negara bila ia akan dilakukan.
“Penting agar acara itu mendapat liputan maksimum. Gambar ahli Parlimen tak dibenarkan masuk Parlimen boleh jadi berita yang bagus,” kata seorang ahli Parlimen dari utara Malaysia. – MalaysiaNow