Barisan Nasional (BN) Selangor akan mengadakan rundingan dengan Pakatan Harapan (PH) sebaik selesai mengadakan perbincangan mengenai pengagihan kerusi dengan komponen parti terdiri daripada MCA dan MIC peringkat negeri dalam waktu terdekat.

Pengerusi UMNO Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, perjumpaan dengan PH itu akan dimuktamadkan selepas semua komponen BN bersetuju mengenai jumlah kerusi bakal ditandingi BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor yang dijangka diadakan selewat-lewatnya.

“(Rundingan) kita serah kepada PH untuk memikirkan bagaimana kita boleh memulakan rundingan secara semangat Kerajaan Perpaduan,” katanya pada sidang akhbar di Bangunan Kumpulan Muara di sini pada Jumaat.

Megat Zulkarnain berkata, secara dasarnya UMNO Selangor telah mengenal pasti kerusi yang bakal ditandingi termasuk lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

“Angkanya (jumlah kerusi ditandingi UMNO) tak perlu kita maklum sekarang dan selepas ia dipersetujui, maka itu keputusan yang akan kita patuhi dan kita akan pastikan untuk tandingi dalam PRN Selangor,” ujar beliau.

Bagaimanapun, jelas beliau, bayangan kerusi bakal ditandingi peringkat negeri itu sudah dimaklumkan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Kita akui dalam PRU15, kita tak berjaya di peringkat Parlimen, tetapi masih mempunyai jumlah undi banyak terutama di kawasan majoriti Melayu,” ujarnya.

Sebelum ini, PH Selangor sedia berbincang dengan BN dalam masa terdekat untuk membuat persiapan PRN.

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *