KUALA LUMPUR: Kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dijangka dimuktamadkan hari ini apabila pemimpin kedua-dua gabungan itu dikatakan akan mengadakan perjumpaan di sebuah hotel di sini pagi ini.
Difahamkan perjumpaan akan berlangsung jam 10 pagi ini.
Memetik laporan Malaysiakini, beberapa sumber daripada gabungan itu mengesahkan akan ada pertemuan itu pagi ini bagaimanapun enggan memberitahu tujuan ia diadakan.
“Tak salah, jika pemimpin PH dan BN berjumpa dan bertukar pandangan selepas penat dengan kempen pilihan raya,” katanya.
Setakat ini belum ada mana-mana gabungan parti yang mampu membentuk kerajaan sehingga meletakkan Parlimen dalam situasi tergantung.
Keputusan rasmi menunjukkan PH memiliki kerusi terbanyak dengan 82 kerusi, diikuti Perikatan Nasional (PN) dengan 73 kerusi.
BN yang menjadi kerajaan sejak merdeka sebelum dikalahkan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 2018 pula hanya menguasai 30 kerusi.
Susulan itu, Anwar yang juga Presiden PKR, yakin beliau akan diberi peluang untuk menjadi Perdana Menteri.
Anwar bagaimanapun enggan menyatakan parti atau mana-mana Ahli Parlimen yang akan bekerjasama dengan PH.