Pembentukan Kerajaan Perpaduan menjadi jalan terbaik dalam memecah kebuntuan politik negara yang melanda pada masa ini. 

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah kepada Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) untuk membentuk Kerajaan Perpaduan demi negara dan rakyat adalah bermaruah, mulia dan sangat menarik.

Baginda juga menitahkan bahawa 30 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) harus menjadi sebahagian daripada kerajaan baharu itu.

“Menjadi sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan tidak bermakna parti perlu menjual prinsip dan dasar mereka. Sebaliknya, mereka boleh bersetuju dengan manifesto bersama untuk memasukkan seluas mungkin janji dalam manifesto mereka. 

“Ini membolehkan parti-parti mengekalkan prinsip dan dasar mereka serta memastikan pengundi tidak merasakan mereka ditipu. Pembentukan kerajaan yang merangkumi parti dan gabungan yang berbeza boleh dilihat sebagai Gabungan Loose atau Gabungan Besar, yang boleh disifatkan sebagai “Gabungan-Pasca PRU15”.

“Kerajaan Perpaduan atau gabungan besar ditubuhkan di seluruh dunia untuk pelbagai tujuan. Kerajaan Perpaduan Nasional di Afrika Selatan dibentuk pada era pasca-aparteid untuk set semula negara manakala Kerajaan Perpaduan Nasional di Kenya dibentuk selepas krisis politik pada tahun 2007,” katanya dalam hantaran terbaharu menerusi laman sosial Facebooknya. 

Bagi membentuk Kerajaan Perpaduan, Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan mengenai pelantikan Perdana Menteri mestilah menjadi urusan pertama, katanya.

“Sebelum pengenalan Perkara 49A mengenai Undang-undang Larangan Lompat Parti yang baharu, parti politik tidak dianggap relevan dalam pelantikan Perdana Menteri kerana Perkara 43(2)(a) secara tersirat merujuk kepada ‘kerajaan Ahli Parlimen’. 

“Menerusi pindaan Perkara 10 mengenai sekatan ke atas ahli Parlimen untuk lompat parti, Perkara 49A mengenai Undang-undang Larangan Lompat Parti dan pengenalan istilah ‘parti politik’ di bawah Perkara 160, Perlembagaan Persekutuan kini secara jelas mengiktiraf parti politik sebagai ‘watak Perlembagaan’ dalam pelantikan Perdana Menteri dan pembentukan kerajaan. Ini adalah undang-undang terkini mengenai pembentukan kerajaan selepas pilihan raya umum,” katanya.

Beliau berkata, terdapat tiga pilihan untuk penubuhan Kerajaan Perpaduan di Malaysia dengan pilihan A, kerajaan gabungan besar atau Kerajaan Perpaduan dan pada masa kini terdapat empat blok utama, iaitu PH, PN, BN dan blok Malaysia Timur Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS). 

Katanya, jika tiga hingga empat daripada blok utama itu memutuskan untuk membentuk gabungan, ia akan menjadi kerajaan gabungan besar bagi Kerajaan Perpaduan.

“Bagaimanapun, terdapat beberapa potensi risiko untuk membentuk Kerajaan Perpaduan tanpa perjanjian gabungan yang berkesan selepas pilihan raya. Perjanjian antara pihak ini harus didedahkan kepada umum untuk ketelusan dan akauntabiliti.

“Pilihan B, Kerajaan Majoriti Kuat dengan Pembangkang Bertanggungjawab iaitu sebilangan kecil ahli Parlimen kekal sebagai pembangkang yang berfungsi sepenuhnya dan diketuai oleh Kabinet Bayangan manakala ahli Parlimen yang lain membentuk kerajaan gabungan dengan majoriti yang besar.

“Pilihan C, Kerajaan Minoriti atau Majoriti Lemah dengan perjanjian kepercayaan dan perbekalan (CSA) bersama pembangkang iaitu satu varian dengan minoriti yang kuat atau majoriti ahli Parlimen kekal sebagai pembangkang tetapi kerajaan dengan majoriti lemah atau kerusi minoriti dipelihara melalui CSA yang dimeterai bersama beberapa blok pembangkang,” katanya. 

Menurutnya, dalam ketiga-tiga model, parti yang lebih kecil diberi penglibatan, tetapi sekiranya gabungan perpaduan bertukar kepada gabungan minoriti yang dikuatkan dengan CSA, kesepaduan akan dapat ditingkatkan, semak dan imbang yang lebih efektif dan identiti dapat dipelihara bagi pihak yang tidak mahu duduk di dalam kerajaan.

Jelasnya, kini terpulang kepada parti politik untuk mengenepikan agenda peribadi dan perbezaan mereka demi mengutamakan rakyat supaya sebagai sebuah negara dapat mencapai kerjasama antara bangsa, agama dan daerah sebagai tanda penghormatan kepada titah Yang di-Pertuan Agong. 

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *