Datuk Seri Zuraida Kamaruddin berkata partinya, Parti Bangsa Malaysia (PBM) sedang menunggu keputusan rasmi daripada Barisan Nasional (BN) berhubung permohonan kemasukkan bersama gabungan itu sebelum ini.

Presiden penaja PBM itu berkata menerima respon positif sepanjang perbincangan dan pertemuan dengan pemimpin BN setakat ini, bagaimanapun meminta semua pihak bersabar menunggu keputusan muktamad yang bakal diputuskan nanti.

“Kami ada beberapa pertemuan dengan kepemimpinan BN, respon positif dan kami cuma menunggu pengumuman rasmi,” katanya dipetik laporan Utusan Malaysia.

Sebelum ini, Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, BN masih memperhalusi permohonan PBM dan beberapa parti politik lain untuk menjadi komponen di dalam gabungan itu.

Beliau menambah, keputusan sama ada meluluskan permohonan parti itu diumumkan kemudian.

Dalam pada itu ketika ditanya mengenai persiapan PBM dalam menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU-15), Zuraida memaklumkan, PBM sudah membuat perancangan sebaiknya.

“Kami tetap dengan perancangan asal dan akan menunggu masa (pelaksanaannya),” katanya.

Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang itu sebelum ini mengumumkan langkah keluar Bersatu dan menyertai PBM, tetapi kekal menyokong kerajaan sedia ada dipimpin Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. AD

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published.