BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memberi amanat kepada anak perempuannya, Nooryana Najwa menjadikan Perlis sebagai lokasi pertama berkempen untuk Barisan Nasional (BN).

Nooryana berkata amanat itu dimaklumkan bapanya selepas bekas Ahli Parlimen Pekan itu mendapat berita berlaku perpecahan parti di kawasan Arau, Perlis.

“Semasa saya berjumpa Datuk Seri Najib beliau rasa kecewa dengan apa yang terjadi di Parlimen Arau. Beliau tak suka dengar berita perpecahan di dalam parti.

“Ingat ya Datuk Seri Najib dalam waktu kesusahan berdepan kes-kes mahkamah dan sekarang pun dalam penjara. Beliau tidak pernah membelakangkan parti dan sentiasa mempertahankan parti sebab beliau percaya apa yang kita nikmat semua ini adalah kerana parti.

“Kita dapat jawatan, jadi menteri, jadi menteri besar dan dapat bantu kawasan itu semua kerana parti,” katanya seperti dilapor Malaysiakini.

Beliau berkata demikian selepas berkempen di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pauh.

Sementara itu, Nooryana Najwa berkata bapanya amat berharap supaya jentera BN bersatu padu dan memberi tumpuan sepenuhnya membantu kemenangan parti.

Katanya, Najib juga berbangga kerana BN menampilkan calon-calon muka baru daripada golongan profesional untuk memikat pengundi muda.

“Pesanan Datuk Seri Najib supaya kita kerja keras dan membela nasib rakyat dengan sepenuhnya dan BN sajalah yang mampu memberi kestabilan kepada negara.

“Kita dah lihat selama empat tahun telah berlalu membazirkan masa dengan kerajaan yang lemah. Jadi kita kena adakan mandat yang besar dan kukuh, supaya kami boleh maju ke depan bagi menjamin masa depan yang cerah terutamanya kepada pengundi-pengundi muda kita,” katanya.-

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *