Umno dan Barisan Nasional (BN) bahagian Ampang menolak untuk bekerjasama dengan Zuraida Kamaruddin dan Parti Bangsa Malaysia (PBM) termasuk bagi menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Bantahan itu dibuat menerusi kain rentang yang dipasang di sekitar kawasan Parlimen itu termasuk di hadapan pejabat Umno Bahagian Ampang sendiri.

Naib Ketua Umno Ampang, Nordin Kasiran ketika dihubungi FMT mengesahkan perkara itu dan memaklumkan pihaknya tidak boleh bekerjasama dengan PBM kerana mereka adalah golongan yang meninggalkan PKR yang pernah menjadi lawan kepada BN.

“Memang kain rentang itu daripada Umno, BN Ampang sendiri, kita tolak kerjasama dengan PBM, sebab kita dengar PBM ingin kerjasama dengan BN.

“Kalau ada pihak atasan Umno, BN pusat terima untuk kerjasama kami tetap akan bantah, memang kami tidak boleh kerjasama dengan PBM dan kami di bahagian Ampang bermesyuarat pada 5 Jun lalu yang dipengerusikan oleh saya sendiri telah membuat ketetapan sebulat suara menolak kerjasama dengan PBM, sebab mereka bekas ahli PKR yang juga lawan kita dulu,” katanya.

Beliau juga mendakwa terdapat kain rentang yang dipasang telah dibuang oleh pihak tertentu dipercayai pihak lawan.

Nordin turut memaklumkan bahagian itu akan membawa perkara itu kepada pucuk pimpinan Umno negeri yang diketuai Noh Omar bagi menyatakan penolakan untuk bekerjasama dengan PBM dipimpin Zuraida.

Beliau, juga memaklumkan hanya calon dari BN sahaja akan disokong di Ampang bagi menghadapi PRU15.

“Dulu kami kerjasama dengan PAS melalui Muafakat Nasional (MN), bagaimanapun statusnya sekarang kabur, kita sedia bergerak solo, tetapi hubungan kami dengan PAS baik sampai sekarang di Ampang.

“Bagaimanapun kalau nak kerjasama dengan PBM kami tak boleh, apa jadi kami tetap mahu calon BN tanding di Ampang, menang ke kalah ke, kami mahukan calon kami, bukan parti lain,” katanya.

Terdahulu tinjauan FMT mendapati kain rentang lengkap gambar Zuraida itu dipasang sekitar Ampang dengan tulisan “Barisan Nasional Ampang menolak Zuraida Kamaruddin dan PBM” “ lawan tetap lawan”.

Sebelum ini PBM diketuai Zuraida sebagai ‘pengganti presiden’ akan bekerjasama dengan BN dalam PRU15 dan surat rasmi akan dihantar kepada parti tersebut dalam masa terdekat.

Susulan itu Ahmad Zahid Hamidi yang juga pengerusi BN memaklumkan pihaknya terbuka untuk menerima mana-mana parti yang yakin dengan prinsip BN termasuk PBM.

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published.