Mana-mana kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) yang telah dimenangi Bersatu atau ditandingkan oleh calon parti itu tetap akan dipertahankan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal turut berkata partinya tidak akan beralah dengan Barisan Nasional (BN) meskipun wujud pertembungan kerusi sesama mereka.

Pendirian itu akan tetap diambil Bersatu meskipun keputusan itu tidak direstui rakan komponen Perikatan Nasional (PN).

“Kalau dipaksa bertembung dengan BN, kita hadap, kita takkan tarik handbrake.

“Kerusi-kerusi yang telah kita menang dan kerusi-kerusi itu pernah bersama BN sebelum ini yang berhijrah kepada Bersatu, kita akan pertahankan.

“Ini termasuk Larut dan Masjid Tanah, kita tidak akan berganjak dari situ,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PN di Sri Hartamas, di sini, hari ini.

Selasa lalu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menegaskan bahawa parti Islam itu tidak bersetuju dengan sebarang ketetapan atau pendirian yang menggambarkan BN sebagai musuh dalam PRU15 akan datang.

Sebaliknya PAS tetap menegaskan bahawa musuh sebenar penyatuan ummah adalah Pakatan Harapan (PH) dan sekutu-sekutunya termasuk khemah besar.

Dalam pada itu, Wan Ahmad Fayhsal berkata, walaupun parti komponen PN boleh berbeza pandangan, namun Bersatu bertegas tidak akan berganjak dari kerusi yang dimilikinya sekarang.

“Kita bersetuju dengan pandangan PAS bahawa PH adalah salah satu musuh atau lawan politik kami dalam PRU15.

“Kita menghormati pendirian PAS, pada masa sama kita juga tidak akan berganjak kalau pertembungan itu berlaku terhadap Bersatu dengan BN, kita tetap akan lawan,” katanya.

Malah katanya, Bersatu sedia berdepan dengan pertandingan empat penjuru jika kerusi parti itu terus diintai parti musuh.

“Kita perlu bersedia dari segi semua sudut termasuk bertembung dengan BN, PH dan GTA malah Warisan yang mungkin juga akan bertanding di Semenanjung,” katanya lagi.

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *