PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu supaya pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) fasa 2 diagihkan awal bulan depan sebelum sambutan Aidilfitri.
Perdana Menteri berkata, beliau sudah meminta Kementerian Kewangan dan agensi berkaitan untuk menyegerakan perkara itu bagi memastikan golongan yang memerlukan, menerima bantuan berkenaan.
Seperti yang disebutkan, STR fasa 1 sudah diedarkan dan sampai kepada rakyat yang berjumlah RM1.6 bilion, itu pada bulan Januari lalu.
“Saya sudah memberitahu Kementerian Kewangan dan agensi terlibat supaya meringankan mereka (golongan memerlukan) dengan bantuan STR fasa 2 yang harus diselesaikan pada pertengahan Ramadan atau awal April sebelum raya.
“Kita akan keluarkan fasa dua ini untuk golongan B40 mendapat STR,” katanya pada Waktu Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Dr Mohammed Taufiq Johari (PH-Sungai Petani) yang meminta Perdana Menteri menyatakan apakah penambahbaikan kepada STR berbanding bantuan diberikan sebelum ini.
Pada Januari lalu, kerajaan melunaskan pembayaran Fasa 1 STR kepada 8.7 juta golongan B40 bernilai RM1.67 bilion.
STR Fasa 1 membabitkan kategori penerima isu rumah berjumlah empat juta dengan kadar RM300, 1.2 juta warga emas tanpa pasangan (RM100), manakala 3.5 juta golongan bujang (RM100).
Anwar berkata, program bantuan tunai untuk B40 di bawah Kementerian Kewangan itu dijenamakan semula kepada STR dan akan terus ditambah baik.