Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) memaklumkan Saringan Komuniti secara percuma anjuran Kerajaan Negeri Selangor akan dilaksanakan di daerah Gombak bermula hari ini.
STFC berkata, saringan bermula jam 9 pagi itu diadakan serentak di Dewan Serbaguna MPAJ (DUN Bukit Antarabangsa) dan Dewan Serbaguna MPAJ AU2 (DUN Hulu Kelang).
“Saringan ini diteruskan esok di DUN Sungai Tua (Dewan Seri Siantan) dan DUN Gombak Setia (Dewan Beringin).
“Pada 20 Mei, program diadakan di DUN Rawang (Dewan Batu 17) dan DUN Taman Templer (Dewan Seroja Kampung Bendahara) manakala DUN Kuang (Dewan Serbaguna Kuang) pada 21 Mei,” katanya seperti dilaporkan SelangorKini.
Kerajaan Selangor menjalankan program pengawasan Covid-19 secara aktif melalui saringan percuma di seluruh 56 DUN mulai 8 Mei hingga 10 Jun.
Setakat ini seramai 8,585 individu disaring melibatkan DUN Kajang, Semenyih, Sungai Ramal, Balakong, Teratai dan Dusun Tua, Lembah Jaya dan Pandan Indah.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak 388 kes Covid-19 dikesan dengan hampir keseluruhan melibatkan pesakit tanpa gejala.