Liga Malaysia dijangka kembali meriah dengan kehadiran penonton ke stadium April ini susulan ia dibenarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Berita ini pastinya disambut ceria para peminat bolasepak tanah air dan melegakan kantung kewangan pasukan menerusi hasil keuntungan penjualan tiket.
Bagaimanapun menurut Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob, jumlah kehadiran penyokong di stadium tertakluk kepada peratusan yang dibenarkan MKN mengikut status negeri, sama ada di bawah perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) atau perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPD).
“Mesyuarat Teknikal MKN pada Selasa, 16 Mac 2021 telah mendengar pembentangan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengenai permohonan untuk membenarkan kemasukan penonton ke stadium/venue bagi kejohanan-kejohanan sukan seperti Liga Malaysia beserta SOP yang dicadangkan.
“Atas pandangan serta penilaian risiko oleh KKM, mesyuarat bersetuju untuk membenarkan kehadiran penonton ke stadium/venue dengan syarat seperti berikut:
Kawasan PKPB – 10% kapasiti penonton atau 2,000 orang (mana-mana yang lebih rendah) dengan kawalan penyeliaan sepanjang masa.
Kawasan PKPP – 25% kapasiti penonton atau 8,000 orang (mana-mana yang lebih rendah) dengan kawalan penyeliaan sepanjang masa.
“Bagaimanapun, semua penganjuran kejohanan dengan kehadiran penonton adalah tertakluk kepada kebenaran oleh KBS,” katanya pada sidang media, hari ini.
Ismail menambah, kebenaran ini akan mula berkuatkuasa pada 1 April 2021, dengan 2 perlawanan bola sepak dalam Liga Malaysia (MFL) yang akan dibenarkan dahulu sebagai percubaan /Proof of Concept (POC) untuk menilai keberkesanan Protokol Pengurusan Penonton.
“Di samping itu, pihak KBS, MKN dan KKM akan turut memantau dan membuat penilaian pematuhan protokol yang ditetapkan khususnya dalam aspek pergerakan, kemasukan dan penyuraian penonton semasa perlawanan tersebut nanti.
“Antara SOP yang perlu dipatuhi adalah tiket hanya dijual secara dalam talian (online) sahaja, penjarakan fizikal minima 1.5 hingga 2 meter di antara setiap penonton, operasi jualan hanya dibenarkan di kedai sedia ada di kawasan stadium venue sahaja,” katanya.