JAKARTA – Rekod keselamatan pengangkutan udara Indonesia sekali lagi mendapat perhatian komuniti antarabangsa selepas tragedi Sriwijaya Air, SJ182 yang membawa 62 penumpang terhempas ke Laut Jawa beberapa minit sejurus ia berlepas pada Sabtu sekali gus menjadikan ia nahas ketiga terburuk dalam tempoh lebih enam tahun.

Data Jaringan Keselamatan Penerbangan menunjukkan terdapat 697 kematian membabitkan pesawat tentera dan komersial sejak lebih sedekad lalu yang menjadikan Indonesia mendahului Rusia, Iran dan Pakistan.

Nahas Boeing 737-500 itu berlaku selepas tragedi Boeing 737 MAX kendalian syarikat penerbangan tambang murah, Lion Air pada Oktober 2018 yang turut menyebabkan penggantungan operasi model pesawat berkenaan di seluruh dunia selama lebih dua tahun.

Pada 2007 hingga 2018, Kesatuan Eropah (EU) telah mengenakan larangan terhadap syarikat penerbangan Indonesia sebagai respons terhadap siri nahas dan laporan pengawasan serta penyelenggaraan yang lemah.

Rekod keselamatan udara negara itu bagaimanapun telah menunjukkan peningkatan sejak beberapa tahun lalu dan menerima penilaian yang baik daripada agensi penerbangan PBB kira-kira dua tahun lalu.

Ketika ini, beberapa pakar menyatakan masih terlalu awal untuk menentukan faktor yang menyebabkan nahas pesawat berusia 27 tahun itu.

Pakar kemalangan udara berpusat di Australia, Geoff Dell berkata, penyiasat biasanya akan melihat beberapa faktor termasuk kegagalan mekanikal, tindakan juruterbang, rekod penyelenggaraan, keadaan cuaca atau terdapat gangguan lain pada pesawat.

Difahamkan, kebanyakan nahas udara berlaku disebabkan beberapa faktor yang mengambil masa selama beberapa bulan sebelum dapat dikenal pasti. – Agensi

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published.