Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), Datuk Dr Madeline Berma perlu letak jawatan dalam tempoh dua minggu susulan kenyataannya yang didakwa membela aktiviti persundalan.

Desakan itu dibuat Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) selepas Madeline didakwa membuat kenyataan di Facebook apabila mahu pekerja seks (pelacur) di negara ini tidak didiskriminasi.

Pengerusi PEMBELA, Aminuddin Yahaya mendakwa, kenyataan Madeline di laman sosial berkenaan merupakan ringkasan terhadap apa yang beliau sampaikan ketika membentang kertas kerja di dalam satu diskusi Meja Bulat bertajuk “Mengakhiri Keganasan Terhadap Pekerja Seks”.

Katanya, ia merupakan sebuah program anjuran Pertubuhan Kesihatan dan Kebajikan Umum Malaysia.

“Dalam kenyataan tersebut beliau juga menyenaraikan lima kesan yang dihadapi oleh pekerja seks, akibat dari kesan dikriminalisasi,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Aminuddin menegaskan, aktiviti pelacuran merupakan kesalahan jenayah yang tidak sah di sisi undang-undang serta terdedah kepada penyakit HIV dan AIDS.

Malah katanya, kesalahan pelacuran juga terdapat di dalam Akta 559 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 di bawah Seksyen 21 (Pelacuran).

Jelas beliau, tidak wujud apa yang di istilahkan sebagai “industri penjualan dan pembelian seks” di dalam negara ini kerana perkara itu jelas merujuk kepada satu perbuatan tidak bermoral.

Katanya lagi, pekerjaan dan pekerja seks (pelacur) dipandang rendah, diaib, dihina, dicela termasuk mereka sering menghadapi pencabulan terhadap hak asasi manusia.

“Adalah tidak wajar apabila seorang Pesuruhjaya sebuah suruhanjaya mengenai hak asasi manusia di bawah kerajaan membela dan memperjuangkan aktivit haram pelacuran atas nama hak asasi.

“Atas perkembangan yang menggusarkan ini, PEMBELA menggesa Madeline meletakkan jawatan sebagai Pesuruhjaya SUHAKAM kerana kenyataannya bertentangan dengan Akta 157 (Akta SUHAKAM), Seksyen 4 (4) yang menyatakan dengan jelas bahawa dalam melaksanakan tugas dan kuasanya SUHAKAM mesti mengambilkira Deklarasi Universal Hak Asasi Manusia 1948 [DUHAM) setakat mana ianya tidak betrcanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Beliau telah melanggar bidang kuasa SUHAKAM di peruntukan di Seksyen 2 Akta SUHAKAM berkenaan melaksanakan hak asasi manusia dan kebebasan asasi berdasarkan Bahagian II Perlembagaan Persekutuan.

“SUHAKAM tidak boleh bertindak atau melakukan sesuatu di luar lingkungan Bahagian II Perlembagaan Persekutuan.

“Tindakan beliau (Madeline) telah mencabar kedudukan Islam sekaligus mencabar Yang Dipertuan Agong yang telah bersumpah untuk memelihara kesucian agama Islam yang merupakan agama negara,” tegasnya.

Dalam pada itu, Aminuddin menegaskan, sekiranya Madeline tidak melaksanakan tuntutan itu, PEMBELA akan membuat gerakan besar-besaran untuk bangkit menentang dan menuntut agar beliau meletakkan jawatan.

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published.