KUCHING: Beberapa jalan dan kawasan di sekitar bandar raya ini telah dinaiki air berikutan hujan lebat, sejak malam tadi.
Antara kawasan yang terlibat ialah Batu 3, Main Road, Jalan Kempas, Batu 7, Kampung Sinar Budi, kawasan King Centre, Jalan Hup Kee, Jalan Kereta Api serta Sekolah Kebangsaan Jalan Ong Tiang Swee.
Menerusi beberapa video dan gambar yang dikongsi di laman sosial menyaksikan keadaan jalan telah terjejas teruk di lokasi dilanda banjir kilat.
Turut dikongsikan ialah beberapa kenderaan terkandas dan tenggelam selain pengguna jalan raya juga memberhentikan kenderaan di bahu jalan yang lebih tinggi berikutan air deras.
Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia), amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka akan berlaku di beberapa bahagian di Sarawak.
Ia melibatkan kawasan Kuching, Serian, Samarahan dan Miri.
“Keadaan hujan lebat dan ribut petir dijangka berlaku sehingga 2 petang ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Jelasnya, amaran tersebut dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.