Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan membenarkan waktu operasi bazar Aidilfitri dilanjutkan sehingga 2 pagi, bermula esok.

Katanya, keputusan itu dibuat selepas peniaga merungut waktu operasi hingga 12 malam terlalu pendek.

“Kerajaan mendengar rayuan dikemukakan penjaja bazar Aidilfitri supaya melanjutkan waktu berniaga mereka.

“Kita dimaklumkan di bulan Ramadan ini, pegunjung bazar Aidilfitri keluar selepas solat Isyak dan Tarawih, jadi waktunya amat terhad,” katanya dalam sidang media hari ini.

Sementara itu, Ismail berkata, SOP terperinci untuk sambutan Aidilfitri seperti solat Aidilfitri serta ziarah kubur akan diumumkan minggu depan.

Beliau turut mengulangi larangan rentas negeri masih dikekalkan.

“Walaupun keputusan kerajaan ini bukanlah sesuatu yang disukai rakyat, tetapi kita harus bersama-sama berganding bahu memastikan penularan Covid-19 dapat dikekang.”

Katanya, 38 kluster rentas negeri membabitkan 5,471 kes direkodkan sejak 20 Dis 2020 hingga 20 April lalu, dengan tujuh kluster rentas negeri dan 423 kes dicatatkan dalam bulan ini saja.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan pernah merekodkan kes kluster tertinggi, iaitu kluster Pasai dengan 2,693 kes yang merebak di beberapa kawasan di Sarawak.

“Kluster rentas negeri ini bukan saja mengakibatkan
penularan ke kawasan zon hijau, malah aktiviti seperti pulang ke kampung, menghadiri majlis sosial juga meningkatkan risiko jangkitan kepada golongan rentan seperti warga emas dan kanak-kanak.”

Dalam pada itu, Ismail berkata, terdapat beberapa bazar Ramadan yang ditutup pihak berkuasa tempatan, seperti di Greenwood, Gombak dan Bukit Nyamuk di Kuala Nerang.

“Ini pastinya akan menyusahkan bukan saja peniaga, malah memberi kesan kepada pengunjung.

“Jadi, saya berharap sama-samalah kita patuhi SOP ditetapkan untuk mengelakkan hal seperti ini berlaku.”

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *