KLANG – Seorang pemandu lori ais batu yang menampar seorang juruwang yang hamil di sebuah pasar raya sehingga videonya tular sebelum ini didenda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Majistret Nik Nur Amalina Mat Zaidan menjatuhkan hukuman terhadap Izuandy Efendi, 38, yang mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Tertuduh juga diperintahkan menjalani penjara sebulan sekiranya gagal membayar denda tersebut. Izuandy membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, lelaki tersebut dengan sengaja menampar pipi kiri Nor Ain Shafinaz Nor Azman, 24, menggunakan tangan sehingga menyebabkan cedera kepada mangsa.

Tertuduh melakukan perbuatan itu di sebuah pasar raya di Batu 4 Rantau Panjang di sini pukul 9.30 malam pada 29 November lalu.

Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga satu tahun dan denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Evangelin Simon Silvaraj manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Pada 2 Disember lalu melaporkan hanya kerana tidak sengaja mencampakkan barang sehingga keluar daripada beg plastik, seorang lelaki tiba-tiba naik angin dan menampar seorang juruwang wanita yang hamil lima bulan dalam kejadian di sebuah pasar raya di Klang.

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published.