Mohamed Azmin yang juga merupakan bekas Setiausaha Sulit Anwar menyifatkannya sebagai satu pengkhianatan terbesar khususnya dilakukan oleh Anwar jika audio tersebut dibuktikan benar.
Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yakin bahawa rakaman audio didakwa mirip suara Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang tular baru-baru ini adalah sahih.
Menurutnya, pengkhianatan itu bukan sahaja kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) tetapi juga kepada komponen parti Pakatan Harapan (PH) kerana secara sulit menjalankan rundingan dan perbincangan dengan pihak lain.
“Saya sebagai pegawai telah berkhidmat dengan beliau (Anwar) sekian lama dan merupakan setiausaha sulit beliau yakin itu adalah rakaman sahih yang akan dibuktikan dalam penyiasatan itu,” katanya.
Beliau turut menggesa supaya siasatan segera dijalankan berhubung rakaman audio terbabit.
Mohamed Azmin yang juga merupakan Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) berkata, siasatan itu juga membolehkan kedua-dua pemimpin parti politik berkenaan untuk membela diri.
Beliau juga berpandangan, keputusan siasatan itu dapat membuktikan kebenaran mengenai pelbagai spekulasi yang timbul kepada penyokong parti dua pemimpin terbabit.