PERIKATAN Nasional (PN) memutuskan tidak akan menampilkan mana-mana pemimpinnya sebagai ‘poster boy’ dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) di Selangor nanti.

Pengerusi Bersatu Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari berkata, perkara itu sudah dimuktamadkan dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu sebelum ini.

“Mesyuarat MPT Bersatu bersetuju supaya tidak ada ‘poster boy’ di Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas membuat laporan polis terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkenaan fitnah ke atas Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dalam pada itu, Abdul Rashid menafikan tiga pimpinan Bersatu, termasuk Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Datuk Seri Dr Mohd Radzi Md Jidin dan beliau sendiri sebagai bakal Menteri Besar Selangor.

“Bukan (bayangan calon MB) sebenarnya, apabila Tan Sri Muhyiddin sebut tiga nama tersebut ia adalah untuk persediaan PRN Selangor.

“Tan Sri (Muhyiddin) melantik Dr Radzi sebagai Koordinator (PN) Selangor, Datuk Seri Azmin sebagai Pengerusi PN dan saya sebagai Pengerusi Bersatu Selangor.

“Jadi arahan Tan Sri (Muhyiddin) supaya kita bertiga ini bersama-sama untuk menguatkan parti dan juga membuat persiapan PRN,” katanya.

Sebelum ini, Muhyiddin mengumumkan pemimpin daripada Bersatu akan dipilih sebagai Menteri Besar di Selangor dan Negeri Sembilan sekiranya PN berjaya menawan dua negeri itu dalam PRN tidak lama lagi.

Berhubung agihan kerusi bersama parti komponen iaitu PAS dan Gerakan bagi PRN nanti, Abdul Rashid berkata, ketika ini ia sudah 60 peratus selesai.

“Ada sasaran kerusi, tetapi keputusan akan diumumkan oleh Jawatankuasa Pusat…kita di Selangor akan cadangkan agihan kerusi dan calon, keputusan muktamad oleh Pusat,” katanya.

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *