Azmin Ali menolak dakwaan beliau akan mengikut jejak Datuk Zuraida Kamaruddin meninggalkan parti itu dan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).
Perkara itu dimaklumkan seorang lagi Ahli MPT Senator Datuk Razali Idris yang menghubungi Azmin bagi mendapatkan pengesahan berhubung desas-desus itu, Jumaat lalu.
Razali berkata beliau sendiri menghubungi Azmin dan menteri berkenaan menafikan perkara itu akan berlaku atau menyertai PBM.
“Saya menghubungi dan bercakap panjang lebar mengenai dakwaan itu dan Azmin menafikan akan ikuti jejak Zuraida untuk meninggalkan Bersatu serta menyertai PBM.
“Kita juga turut menafikan dakwaan ramai ahli MPT akan melepaskan jawatan untuk bersama Zuraida dalam PBM,” katanya menurut laporan BH, ketika ditemui media pada majlis sambutan rumah terbuka Aidilfitri Bersatu Terengganu, di Kuala Terengganu, hari ini.
Terdahulu, Razali yang juga Ketua Badan Pimpinan Bersatu negeri dan seluruh pimpinan tertinggi parti serta Presiden Kelab Wartawan Media Terengganu, Khairul Azlan Mohamad turut memotong kek meraikan Sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2022.
Mengulas lanjut, Razali mengesahkan kali terakhir menghubungi Azmin ketika menjemputnya ke majlis rumah terbuka Aidilfitri Bersatu negeri Jumaat lalu.
Azmin menafikan dakwaan untuk meninggalkan Bersatu dan mengikuti jejak Zuraida menyertai PBM, tegas Razali.
“Setakat ini kita mengesahkan hanya Zuraida meninggalkan parti dan tiada satu pun cawangan Bersatu di Kedah dibubarkan seperti didakwa Ahli Parlimen Ampang itu.
“Kita bagi pihak seluruh badan pimpinan Bersatu negeri mengucapkan tahniah kepada Zuraida kerana bertindak awal menghantar surat memohon meninggalkan parti,” katanya.
Razali berkata, sepatutnya Lembaga Tindakan Tatatertib Bersatu menghantar surat pemecatan Zuraida selepas didapati tidak hadir mesyuarat MT melebihi lima kali dan mula berjinak dengan PBM sejak lebih enam bulan lalu.
“Bersatu sudah mengemukakan usul agar Zuraida dipecat daripada parti, tetapi Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta lembaga disiplin menghantar surat tunjuk sebab selepas gagal hadir mesyuarat tanpa sebab melebihi lima kali,” katanya.
Ketika mengulas dakwaan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan yang mengatakan Bersatu semakin lemah susulan Zuraida meninggalkan parti, Razali meminta Ahli Parlimen Pontian itu tidak bersikap celupar.
Katanya, Ahmad (Maslan) diminta tidak mencampuri urusan Bersatu, sebaliknya memberi tumpuan kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang semakin bercelaru. AD