Antara kejayaan luar biasa kerajaan Perikatan Nasional (PN) adalah mendapat pengiktirafan dunia sebagai sebuah kerajaan terbaik dalam menjalankan usaha pemulihan Covid-19, kata ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu Azmin Ali.
“Lihatlah rekod PN (walaupun) dalam tempoh begitu singkat, negara hadapi krisis kesihatan, krisis ekonomi namun kepimpinan Muhyiddin Yassin dan PN berjaya membawa negara keluar daripada krisis ini, malah diiktiraf masyarakat dunia dengan Indeks Pemulihan Covid-19 Nikkei meletakkan Malaysia di tangga ke-13 berbanding 115 pada tahun sebelumnya.
“Ini adalah rekod yang tidak boleh dipadamkan. Data tidak menipu. Ini kebaikan untuk industri di Johor. Kenapa kita tidak boleh terima? Kalau tidak suka janganlah sampai nak dipadamkan kejayaan dan fakta-fakta itu. Kita perlu teruskan kejayaan ini dan saya serahkan kepada rakyat buat keputusan dalam PRN Johor,” katanya, menurut laporan Bernama.
Katanya, rakyat Johor khususnya pengundi pada pilihan raya negeri (PRN) Johor akan datang perlu melihat rekod pencapaian pentadbiran kerajaan PN itu sewaktu negara berdepan dengan pandemik Covid-19.
Azmin yang juga Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Makan Malam Tahun Baharu Cina bersama Industri Kecil Sederhana (IKS) dari kawasan Tangkak, Pagoh dan Muar, di Tangkak, malam tadi.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai perkembangan PN menghadapi PRN Johor memandangkan Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP masing-masing sudah mula mengumumkan calon yang akan bertanding dalam pilihan raya itu, selain Barisan Nasional (BN) melancarkan jentera di beberapa zon.
Semalam, kes Covid-19 meningkat hampir dua kali ganda sepanjang minggu lalu, daripada 5,566 kes pada 1 Feb kepada 10,089.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin sebelum ini berkata, jangkitan Covid-19 dijangka mencecah sehingga 15,000 kes tidak lama lagi susulan negara kini berdepan gelombang varian Omicron.