Kejadian bencana banjir yang berlaku di Baling, Kedah baru-baru ini telah menyebabkan ramai penduduk-penduduk terkesan dan terpaksa dipindahkan ke beberapa pusat pemindahan sementara (PPS) dengan anggaran lebih 80 buah rumah terjejas. Kesan daripada kejadian itu juga, daerah Baling berduka cita dengan kejadian yang meragut nyawa tiga sekeluarga termasuk seorang ibu hamil empat bulan.

Pelbagai spekulasi mula timbul mengenai punca kejadian ini dan majoriti penduduk menggesa beberapa pihak berkaitan untuk tampil menyelesaikan masalah itu dengan segera.

Turut tular di media sosial video yang menunjukkan seorang penduduk meluahkan rasa marah dengan kejadian yang telah berlaku. Katanya, semua yang berlaku adalah kesilapan diri sendiri juga kerana membenarkan pihak luar masuk ke kawasan mereka untuk tujuan tertentu.

“Kesan daripada kesilapan manusia, tangan-tangan manusia yang mementingkan diri sendiri, inilah hasilnya. Kita jangan tunding tangan kepada sesiapa, tunding tangan kepada diri sendiri kerana kita yang membenarkan mereka dengan rakusnya menceroboh hutan simpan kerajaan. 

“Kita membenarkan… hanya perut dan tembolok kita dan hasilnya inilah dia. Penduduk dan kawan-kawan kita menderita. Siapa yang nak ganti semua benda ni? Siapa yang nak repair rumah yang hilang? Siapa yang nak ganti nyawa yang melayang? Itulah kita kena muhasabah diri. 

“Mulai hari ini, orang-orang di sini kena bersatu. Jangan benarkan mereka panjat bukit tu. Dari pokok balak sebesar lengan hingga sekecil habis diorang ambil,” tegasnya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Baling Abdul Azeez Abdul Rahim berharap agar projek tanaman durian Musang King di Gunung Inas dihentikan susulan ada dakwaan yang menyatakan ladang itu menjadi punca berlakunya banjir dan fenomena kepala air.

Beliau berkata, sebelum ini pihaknya yang mewakili penduduk di kawasan sekitar telah menghantar memorandum bantahan projek itu kepada Menteri Besar Sanusi Md Nor.

“Saya mewakili penduduk sudah membawa memorandum bantahan yang ditandatangani oleh 900 penduduk sekitar berserta dengan nombor kad pengenalan mereka, penduduk pun sudah banyak kali melakukan demonstrasi berhubung isu ini.

“Projek ini diluluskan oleh kerajaan negeri sebelum ini, isu ini bukan sebulan dua tapi sudah bertahun-tahun,” katanya yang turut melahirkan rasa sedih dengan bencana itu telah mengorbankan tiga beranak berusia antara 14 hingga 53 tahun.

“Saya sudah cakap dalam Parlimen enam bulan lalu, kita di Baling perlukan RM300 juta untuk menyelesaikan isu banjir di Baling. Sudah berulang kali saya merayu termasuk kepada Kementerian Alam Sekitar dan Air, akhirnya hari ini berlaku juga kejadian tidak diingini,” tambahnya.

Walau bagaimanapun, Menteri Besar Kedah, Sanusi dalam sidang medianya berkata, dakwaan bahawa projek tanaman durian Musang King di Gunung Inas sebagai punca kejadian itu belum dapat disahkan. Ini kerana dakwaan itu perlu disertakan dengan maklumat lengkap sebelum sebarang tuduhan dilemparkan kepada pihak yang terbabit,” katanya. 

Sumber: Kedah Kesayangan Ku

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published.