KOTA TINGGI: “Ayah, tolong!”. Itulah jeritan terakhir salah seorang daripada dua beradik kepada bapanya Johari Mohd. Barjol, 50, sebelum lemas ketika mandi-manda bersama keluarganya di Pantai Tanjung Buloh, Tanjung Sedili semalam.

Bapa kepada enam orang anak itu memberitahu, tragedi tersebut meragut nyawa anak keempat dan kelimanya iaitu Siti Rabiah, 13, dan Siti Nursalina, 10.

Dia terkilan kerana tidak sempat menyelamatkan Siti Rabiah yang menjerit memanggil namanya meminta untuk diselamatkan dan pada masa sama dia dapat melihat isterinya, Mersidita Yunos, 46, yang sudah terapung akibat pengsan manakala kelibat Siti Nursalina sudah tidak kelihatan dibawa ombak.

Menurutnya, mereka sekeluarga memang berhasrat ke pantai itu untuk beriadah menghabiskan cuti sempena Hari Pekerja.

“Sebelum ke pantai saya pergi ke rumah ayah angkat di Tanjung Sedili dan selepas ambil anak buah kami terus ke pantai kira-kira pukul 11 pagi. Kami sempat buat barbeku. Siti Rabiah dan Siti Nursalina memang sangat rapat dan merekalah yang paling teruja bila diajak ke pantai, semasa kejadian itu merupakan kali kedua mereka turun ke laut selepas makan.

“Ketika itu, ombak agak kuat dan saya sempat pesan kepada mereka agar berhati-hati. Kali kedua ke laut mereka turun berempat bersama isteri saya dan anak buah, Saleha Haron, 27,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kota Tinggi (HKT) hari ini.

Bercerita lanjut, Johari berkata, ketika kejadian, isterinya sempat menarik tangan kedua-dua anaknya itu manakala dia sempat menyelamatkan anak buahnya yang tidak jauh dari tempat dia duduk.

Akibat kejadian itu, isterinya juga kini sedang dirawat di HKT kerana memerlukan bantuan pernafasan manakala anak buahnya dalam keadaan baik.

“Semalam, saya memang rasa tidak sedap hati, biasanya saya akan mandi bersama mereka, tetapi, semalam, saya hanya duduk santai sahaja macam tiada ‘mood’ tengok laut. Tidak lama selepas itu saya dapat lihat mereka berempat ditarik ombak besar dan saya bersama orang awam terus berlari ke laut untuk cuba menyelamatkan mereka dengan pelbagai cara termasuk menggunakan tali dan pelampung yang ada.

“Namun sudah sampai ajal anak-anak saya dan saya reda dengan apa yang berlaku. Isteri yang masih di hospital juga saya maklumkan tentang kehilangan anak kami, pada awalnya dia bersedih, namun, menerima takdir ini,” katanya.

Jenazah dua beradik tersebut yang disembahyangkan di Masjid An Nur Kampung Batu Ampat selamat dikebumikan dalam satu liang lahad pukul 11.15 pagi tadi di Tanah Perkuburan Islam Batu Ampat, Jalan Lombong di sini.

Semalam, media melaporkan kegembiraan sebuah keluarga mandi-manda di Pantai Tanjung Buloh, Tanjung Sedili di sini bertukar tragedi selepas dua beradik lemas. –UTUSAN

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *