Kerajaan Arab Saudi mewajibkan vaksin Covid-19 ke atas bakal jemaah haji tahun ini.
Menteri Kesihatannya, Tawfiq al-Rabiah berkata ia antara syarat utama dikenakan kepada jemaah bagi mencegah jangkitan Covid-19, lapor Reuters.
“Vaksin Covid-19 wajib kepada sesiapa sahaja yang mahu menunaikan ibadat haji dan akan menjadi salah satu syarat utama haji,” katanya.
Beliau tidak mengesahkan adakah jemaah haji dari luar negara itu akan diizinkan untuk menunaikan haji tahun ini, tetapi menyatakan vaksin akan menjadi “syarat utama” untuk menunaikan ibadat tersebut.
Pada 2020, kerajaan Arab Saudi mengurangkan jumlah jemaah haji kepada hanya seramai 1,000 orang bagi mengelak penularan jangkitan Covid-19.
Arab Saudi telah memulakan program vaksinasi Covid-19 pada 17 Disember lalu melibatkan vaksin keluaran Moderna, Pfizer dan AstraZeneca.