Bekas ahli majlis tertinggi (MT) Umno, Mohamed Nazri Aziz, hari ini menyatakan sokongannya kepada gesaan Najib Razak supaya parti itu keluar secepatnya meninggalkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Menurut Nazri sekiranya lebih lama Umno berada dalam kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin itu, ia hanya akan menyulitkan situasi partinya kelak.
“Untuk parti, saya setuju dengan apa dikatakan Najib (untuk keluar dari PN segera).
“Lebih lama kita tinggal (bersama PN) ia akan sukar untuk kita nanti dan hari-hari dia akan curi ahli kita […] Kita kena keluar secepatnya,” katanya ketika ditemui pemberita di sebuah restoran di Kuala Lumpur hari ini.
Sebelum ini, Najib yang juga bekas presiden Umno berkata parti itu dilayan seperti ‘anak tiri’ dalam kerajaan PN. Untuk rekod PN kini diterajui Muhyiddin Yassin yang juga bekas timbalan presiden Umno.
Dia dipecat daripada jawatannya dalam Umno selepas lantang mengkritik Najib dalam isu skandal 1MDB.
Justeru, katanya Umno harus keluar daripada pentadbiran pimpinan Muhyiddin jika mahu mempertahankan kedudukannya sebagai parti yang berpengaruh.
Umno sendiri sebelum ini mendesak agar PRU diadakan segera dengan alasan supaya kerajaan yang mendapat mandat rakyat dapat dibentuk.
Ia berlaku ketika hubungan Umno dengan Bersatu semakin tegang ekoran satu demi satu bahagian Umno mengemukakan usul untuk menamatkan kerjasama di antara mereka.