Umno dan Pas Selangor sepakat untuk menolak pelantikan jawatan Penggerak Komuniti Tempatan (PeKT) seperti yang diagihkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan baru-baru ini.
Dalam kenyataan bersama, kedua-dua parti itu berpendapat jawatan kerajaan bukan ‘bahan untuk tawar-menawar’ dan kepentingan politik pihak tertentu.
PeKT adalah inisiatif KPKT yang berperanan seperti ahli majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) lantikan kerajaan negeri, di negeri-negeri yang dikuasai pembangkang.
Umno dan PAS memberi isyarat bahawa mereka tidak senang dengan jawatan itu digunakan untuk tawar-menawar.
Ahli Parlimen Ampang daripada Bersatu, Zuraida Kamaruddin adalah Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Umno sebelum ini telah menyenaraikan calonnya untuk jawatan dalam PeKT di Selangor tetapi kemudian membatalkannya sebagai tanda sokongan kepada PAS.
“PAS Selangor telah menolak jawatan PeKT dengan tidak mencalonkan nama.
“Sebagai tanda solidariti dan sokongan, Umno juga memutuskan untuk menolak jawatan yang ditawarkan walaupun telah mengemukakan nama sebelum ini,” kata mereka.
Ketua Bersatu Selangor, Abdul Rashid Asari sebelum ini berkata akan ada 288 jawatan PeKT di Selangor, dengan masing-masing mendapat elaun RM2,000 sebulan.
Hari ini Zuraida berkata dia akan mendapatkan penjelasan berhubung penolakan tawaran oleh Umno dan PAS.