TIADA majlis rumah terbuka Perdana Menteri sempena Hari Raya Aidilfitri tahun ini seperti kebiasaannya yang diadakan di Seri Perdana sebelum ini.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau dan Jemaah Menteri berpandangan adalah lebih baik untuk turun ‘ke bawah’ ke setiap negeri bersama rakyat.

“Perdana Menteri tidak akan adakan Majlis Aidilfitri di Seri Perdana. Jemaah Menteri memikirkan lebih baik kita turun ke bawah. Jadi kita akan pergi ke setiap negeri.

Sambutan sama ada yang dianjurkan oleh kerajaan persekutuan ataupun yang dianjurkan kerajaan-kerajaan negeri,” katanya.

Beliau mengumumkan perkara itu ketika berucap di Majlis Penerapan Nilai-nilai Murni dan Iftar Kementerian Dalam Negeri (KDN) Madani, di Sekolah Latihan Asas Kepolisan (SLAK), Sungai Petani, Kedah, hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, program pertama yang akan diadakan oleh kerajaan persekutuan adalah di Alor Setar, Kedah yang dijadual berlangsung pada 29 April ini.

“Kita ada minat sikit dengan Alor Setar kerana saya diberitahu makanan di Alor Setar jauh lebih lazat daripada tempat lain,” katanya.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Anwar turut memaklumkan pihaknya sudah menghantar nama calon untuk mengisi kekosongan jawatan Ketua Audit Negara.

Beliau berkata, proses itu perlu melalui beberapa prosedur sebelum nama calon berkenaan dapat dipersembah kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Semua urusan sudah diselesaikan. Saya menghantar cadangan nama tersebut dua minggu lalu,” katanya.

Sebelum ini, jawatan Ketua Audit Negara disandang Datuk Seri Nik Azman Nik Abdul Majid yang melepaskan jawatannya pada 23 Februari lalu.

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *