Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata demikian ketika mengendalikan sesi Bicara Covid-19 Dan Kesiapsiagaan Negeri, yang disertai Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari; Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, kerajaan juga dilihat tidak memahami penderitaan rakyat di bawah dengan langkah membataskan perniagaan peniaga-peniaga kecil serta mengenakan denda dengan jumlah yang tidak munasabah.
“Orang cari makan nak kena denda, manalah nak boleh bayar. Jadi nak ugut orang ramai dengan denda daripada RM1,000 nak tambah lagi jadi RM1,500… RM2,000, itu semua akan bawa bencana baharu kepada rakyat,” tegas beliau lagi.
Sementara itu, Menteri-menteri Besar dan Ketua Menteri di bawah Pakatan Harapan juga senada dengan Anwar, bahawa akta sedia ada boleh digunakan bagi memperkasakan kesihatan awam, tanpa perlu ordinan sebegitu.
Amirudin dalam sesi dialog itu berkata, Perdana Menteri boleh menggunakan kuasa di bawah peruntukan ordinan untuk perkara yang lebih membantu rakyat.
Selain menyumberluar keperluan kesihatan awam kepada sektor swasta, beliau berkata, Perdana Menteri juga boleh menetapkan harga siling untuk ujian saringan supaya tidak terlalu membebankan rakyat
“Saya percaya dengan kuasa sedia ada boleh tetapkan harga test, sebab test kit pada pasaran ketika ini kadang-kadang hospital swasta letak tinggi. Patut letak harga siling RM150 atau RM160 sahaja.
“Saya sudah suarakan dalam Majlis Keselamatan Negeri, exercise your power Prime Minister, untuk tetapkan harga kepada harga mampu milik dan boleh disubsidi kerajaan. Dengan itu justifikasi darurat akan menjadi lebih baik,” katanya lagi.
Sementara itu, Kon Yeow pula berpendapat, masih tiada justifikasi kukuh mengenai keperluan menggantung Parlimen dan DUN.
“Saya setuju sangat dengan Menteri Besar Selangor, kalau kuasa darurat digunakan untuk memperkasakan public health measures dan resources, tiada sapa akan pertikaikan
“Tetapi berbanding dengan mengugnakan untuk tujuan politik, sehingga kini tak ada apa-apa justifikasi dan alasan yang dapat meyakinkan rakyat bahawa Parlimen dan DUN perlu dihentikan mesyuarat,” katanya lagi.
Bagi Aminuddin pula, rakyat perlu tahu apa jenis nasihat yang diberikan jawatankuasa khas terhadap Yang di-Pertuan Agong berhubung situasi semasa pandemik.”Saya tak nampak apa yang Proklamasi Darurat itu lakukan… jawatankuasanya bersidang atau tidak, mungkin ada jawatankuasa tertentu sudah bersidang.
“Apakah nasihat diberikan kepada Agong juga perlu kita ketahui, supaya sepatutnya dapat dimulakan. Sudah dua minggu lebih (Ordinan Darurat dilaksanakan) dan rakyat tertunggu-tunggu,” katanya lagi.