Presiden PKR, Anwar Ibrahim, mendedahkan pilihan menawan Putrajaya sebelum pilihan raya umum ke-15 masih berjalan, di samping mempersiapkan jentera menghadapi PRU nanti.
Beliau mengesahkan perkara itu ketika ditanya pemberita apakah pihaknya masih mengusahakan peralihan pentadbiran kerajaan sebelum PRU, selepas dakwaan beliau mempunyai “sokongan dan majoriti kukuh dan meyakinkan” pada lewat September lepas tidak membawa kepada apa-apa.
“Kita lakukan kedua-duanya. Jentera pilihan raya DAP, PKR, dan Amanah sudah bermesyuarat dan menyusun strategi mengikut keutamaan kami dan pada masa sama, kami teruskan usaha kami,” katanya pada sidang media selepas program di ibu negara.
“Saya tidak boleh katakan lebih dari ini. Tetapi ia adalah serangan serampang dua mata.”
Dalam pada itu, di sebalik perbalahannya antara beliau dan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, Anwar bersetuju dengan pendapat dalam kalangan parti komponen Pakatan Harapan bahawa pembangkang harus menggabungkan kekuatannya.
Beliau berkata Pakatan Harapan juga tidak mahu terbeban dengan “pihak yang katakan Malaysia untuk Melayu.”
“Kita mewakili pandangan untuk ajak dan rangkul kekuatan buat semua,” katanya.
Ditanya adakah beliau masih sedia bekerjasama dengan Mahathir, yang baru-baru ini menepis Anwar sebagai tidak boleh dipercayai, presiden PKR menganggap sosok bekas perdana menteri itu atau kumpulannya bukanlah isu utama untuk menjalin kerjasama.
“Kita ambil sikap terbuka, mana-mana parti yang terima dasar tatakelola yang baik, tidak amalkan kronisme, kita setuju. Saya setuju bukan dengan orang atau parti tetapi prinsipnya,” katanya.
Mahathir menyifatkan Anwar sebagai tidak boleh dipercayai selepas presiden PKR itu mengumumkan sedia bekerjasama, dengan syarat Mahathir tidak membawa agenda peribadinya.
Sejak kejatuhan kerajaan PH, bekas perdana menteri itu mengkritik Anwar sebagai tidak sesuai untuk memimpin negara, sementara penyokong Anwar pula menyalahkan Mahathir tidak berpegang pada janji.
Anwar, 73, memaklumkan kepada pemberita yang beliau tidak mahu berbalah dengan Mahathir, 95.
“Tidak apalah, apa yang hendak disibukkan dengan kenyataan Mahathir itu, minggu hadapan mungkin dia tukar lagi.”
Anwar juga ditanya tentang dakwaan Mahathir mengatakan pengundi Melayu akan menyokong PH jika bukan disebabkan pengaruhnya.
“Tidak apalah, dia terangkan mengenai kehebatan dia. Kita tahu (pada) 2013, semasa Mahathir dan rakan-rakan Pejuang di sebelah sana bersama Barisan Nasional, kita juga berjaya raih 52% sokongan rakyat,” katanya, merujuk kepada undi popular yang diperolehi Pakatan Rakyat.
Mahathir dalam temubualnya dengan China Press mendakwa PH mungkin tidak dapat menarik sokongan Melayu sekiranya tidak bekerjasama denganya pada PRU akan datang