Anwar Ibrahim disifatkan sebagai lupa akan segala jasa Pas terhadap pemimpin Pakatan Harapan (PH) itu selepas berkuasa di Putrajaya.

Naib Presiden Pas Datuk Idris Ahmad, berkata kini pelbagai penghinaan dilontarkannya kepada pemimpin Pas yang sebelum ini bersama PKR mencetuskan gelombang reformasi.

Beliau bagaimanapun, berkata Pas berhati besar dan menerima apa saja kritikan dilemparkan pihak lawan secara terbuka.

“Malam ini kita berkumpul di tempat yang dulu kita cetuskan ucapan reformasi di sini, tapi apa boleh buat bila ada kuasa dia perkecilkan macam-macam kita ini. Tak apa Pas ini hati besar.

“Walaupun kami pernah berbakti dengan kamu, walaupun kami pernah berjasa dengan kamu, walaupun dewan inilah yang mencetuskan reformasi, dewan inilah yang mencetuskan ledakan rakyat.

“Tapi, apabila kamu ada kuasa apa kamu tak kata kepada kami, apa yang kamu tak hina tok guru kami…Rakyat boleh menilai,” katanya ketika berucap selepas majlis solat hajat yang berlangsung di Taman Melewar, Gombak, malam tadi.

Majlis solat hajat keselamatan negara dan solidariti menentang kezaliman itu diadakan sebagai sokongan kepada bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang akan dituduh di mahkamah bersabit kes salah guna kuasa dan rasuah.

Hampir 1,000 penyokong dan pemimpin PN hadir ke majlis yang bermula sejak jam 7 petang dengan solat Maghrib berjemaah, bacaan Yassin, solat isyak dan seterusnya solat hajat.

Pada majlis itu juga Muhyiddin yang juga Pengerusi PN dan Presiden Bersatu turut berucap dan menegaskan bahawa pendakwaan terhadapnya adalah usaha pihak kerajaan untuk melemahkan PN.

Muhyiddin mengulangi pendiriannya bahawa beliau tidak terbabit dengan salah guna kuasa serta penyelewengan dana awam, namun sebaliknya mendakwa ia adalah pendakwaan terpilih untuk melemahkan PN serta memalukannya.

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *