Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi mendedahkan beliau diminta menyelamatkan beberapa pemimpin UMNO yang mempunyai kes mahkamah sekiranya mahu menjadi Perdana Menteri.

Permintaan itu dibuat pemimpin UMNO, termasuk 15 Ahli Parlimen parti itu yang memberi sokongan kepadanya untuk menjadi Perdana Menteri kesembilan, menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ketika negara mahu melantik Perdana Menteri kesembilan setelah Muhyiddin meletak jawatan pada 16 Ogos 2021, Anwar mendakwa memperoleh sokongan 120 ahli Parlimen, termasuk 15 daripada UMNO.

Ketika itu, dua pemimpin atasan UMNO dan Barisan Nasional (BN) – Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi – sedang berdepan puluhan tuduhan jenayah, termasuk menerima rasuah.

“Ini disebabkan UMNO menetapkan syarat kalau saya nak jadi Perdana Menteri, saya kena selamatkan dulu kes mahkamah pemimpin mereka. Kalau saya ketagih sangat nak jadi Perdana Menteri, mesti saya dah tandatangan dokumen itu,” kata Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu, menurut laporan BHOnline.

Anwar yang pernah menjadi Timbalan Presiden UMNO berkata demikian ketika berceramah di Majlis Kenduri Rakyat di Kampung Mengkuang Layar, Tambun Tulang, Arau, hari ini (13 November 2022).

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *