TUN Dr Mahathir Mohamad mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyekat orang Melayu di negara ini untuk membincangkan masalah yang dihadapi kaum berkenaan.
Dr Mahathir berkata, tindakan berat sebelah terhadap Melayu yang berlaku ketika ini adalah petunjuk sikap perkauman kerajaan yang bertentangan dengan Perlembagaan negara.
“Semasa saya Perdana Menteri keempat, Anwar adakan demonstrasi setiap minggu. Saya tidakpun halang dia.
“Tetapi sekarang sebagai Perdana Menteri, dia tidak benar langsung orang Melayu bincang masalah yang mereka hadapi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Kelmarin, majlis pelancaran Proklamasi Melayu di dua lokasi terpaksa dibatalkan kerana tidak mendapat kebenaran walaupun telah ditempah terlebih dahulu.
Dr Mahathir berkata, pihaknya tiada bukti siapa yang menghubungi pihak pengurusan dewan untuk membatalkan tempahan namun percaya ia datang daripada peringkat atasan.
Mengulas mengenai perkara itu, Dr Mahathir berkata, pengisytiharan yang hendak dibuat dalam program berkenaan sama sekali tidak menyalahkan kaum lain.
“Proklamasi yang ditulis tidak salahkan bangsa lain tentang nasib malang mereka. Ia menyalahkan pemimpin perasuah sahaja.
“Merekalah pemimpin yang salahguna kuasa, mencuri wang, tidak bantu Melayu selesaikan masalah kemiskinan,” katanya.
Menurut bekas Ahli Parlimen Langkawi itu, tidak salah jika beliau mengatakan kerajaan hari ini ‘mengiyakan’ kemiskinan orang Melayu sekiranya tidak mencari jalan penyelesaian berhubung masalah itu.
“Perbuatan berat sebelah terhadap Melayu adalah petunjuk sikap perkauman Kerajaan. Ianya hasutan kerana bertentangan dengan perlembagaan negara kita.
“Oleh itu pemimpin kerajaan lah yang perlu didakwa atas hasutan,” katanya.