Kuala Lumpur: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) meningkatkan tahap kesiapsiagaan terutama berkaitan keselamatan siber susulan kenyataan berbaur ugutan dikeluarkan Kaunselor Kedutaan Korea Utara di Malaysia Kim Yu-Song.
Panglima ATM Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, pertamanya ATM akan memastikan negara ini selamat dengan meningkatkan tahap kesiapsiagaan.
Menurutnya, ancaman di zaman ini bukan sahaja berbentuk fizikal tetapi turut berkaitan keselamatan siber.
“Kita akan buat pemerhatian terutama dalam keselamatan siber dan akan buat yang terbaik yang mana pasukan kami bekerja keras.
“Matlamat ATM akan memastikan selamat dalam segala sudut,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Tim Pemantau Antarabangsa Mindanao ke -16 (TPA M-16), di Dewan Perkasa, Wisma Perwira ATM, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Yu-Song yang mengatakan Malaysia perlu menanggung akibat daripada tindakan itu apabila mengenakan pendakwaan terhadap rakyatnya.
Terdahulu, Pyongyang mengumumkan pihaknya menamatkan hubungan diplomatik dengan Malaysia, selepas mahkamah Malaysia memutuskan seorang ahli perniagaan Korea Utara boleh diekstradisi ke Amerika Syarikat, untuk menghadapi pertuduhan pengubahan wang haram.