SHAH ALAM, 19 JULAI 2022 – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir di lima buah negeri pada petang ini.

MetMalaysia dalam satu kenyataan berkata, amaran ribut petir itu dikeluarkan susulan keadaan hujan lebat berserta angin kencang yang berlaku di beberapa daerah di negeri Perak, Pahang, Selangor, Negeri Sembilan dan Johor.

“Keadaan sama juga diramalkan melanda Tanah Tinggi Cameron, Bentong, Pekan dan Rompin, Pahang,” katanya di sini tadi.

Selain itu katanya, amaran sama turut dikeluarkan di Selangor melibatkan Sabak Bernam dan Hulu Selangor.

“Amaran ribut petir itu juga dikenakan di Negeri Sembilan melibatkan daerah Jelebu dan Jempol. Sementara, keadaan sama turut boleh berlaku di Johor iaitu di Mersing, Kota Tinggi dan Johor Bahru,” ujarnya.

Katanya, keadaan itu dijangka akan berlaku sehingga pukul 4 petang nanti.

Menurut MetMalaysia, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter per jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.

“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” katanya.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan sebanyak 69 buah rumah terjejas dalam kejadian banjir kilat yang melanda tiga daerah di Kedah awal pagi tadi. – KOSMO! ONLINE

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published.