Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) Jabatan Pengairan dan Saliran mengeluarkan notis kesiapsiagaan kemungkinan banjir kilat melibatkan tujuh negeri.

Negeri yang terlibat ialah Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Melaka, Johor dan Sarawak.

Di Kuala Lumpur, antara lokasi berisiko ialah Pusat Dagangan Dunia (WTC), Jalan Kuching, Kampung Baru, Jalan Pekeliling, Bulatan Dato Onn-Bank Rakyat, Bulatan Pahang, Jalan Batu Bata, Jalan Pahang dan Jalan Cheras berhadapan Ekocheras Mall.

Turut terjejas ialah Jalan Cheras – Desa Aman, Jalan Loke Yew, Kepong Baru, Jalan Raja Chulan, Jalan Sultan Ismail,  Masjid Jamek, Universiti Malaya, Jalan Duta, Kampung Pantai Dalam, Jalan Dang Wangi, Jalan Maarof, Jalan Kia Peng, Jalan Leboh Pasar, stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Bangsar, tol Lebuhraya Shah Alam (Kesas) dan LRT Sungai Besi.

Di Selangor, kawasan Gombak, Petaling, Kuala Selangor dan Sepang termasuk dalam daerah yang berisiko banjir.

Sementara itu, di Negeri Sembilan, daerah yang berisiko ialah Jelebu, Rembau dan Seremban manakala di Melaka ialah Alor Gajah dan Jasin; di Johor melibatkan Batu Pahat, Muar, Segamat dan Tangkak manakala daerah di Kedah membabitkan Kuala Muda.

Bagi Sarawak pula, kawasan berisiko ialah Sungai Siol, Petra Jaya di Kuching.

Menurut PRABN, risiko itu berdasarkan maklumat hujan daripada model Numerical Weather Prediction (NWP) oleh Jabatan Meteorologi Malaysia dan sistem Southeastern Asia-Oceania Flash Flood Guidance System (SAOFFGS).

“Terdapat risiko berlakunya banjir kilat di beberapa lokasi sekiranya hujan lebat atau ribut petir yang signifikan.

“Notis kesiapsiagaan ini dikeluarkan bagi membolehkan semua penduduk terutamanya di kawasan yang berisiko untuk berwaspada dengan sebarang kemungkinan berlakunya banjir kilat bagi tempoh tersebut,” menurut kenyataan tersebut.

Maklumat lanjut layari laman sesawang

https://publicinfobanjir.water.gov.my

Facebook @PublicInfoBanjir dan Twitter @JPS_InfoBanjir.

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *