Pemuda Negara Negeri Sembilan menggesa Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Edmund Santhara Kumar meletakkan jawatan.
Ketuanya, Datuk Seri Sanjeevan Ramakrishnan berkata tindakan Timbalan Menteri itu yang bercuti di New Zealand sejak Disember tahun lalu amat tidak bertanggungjawab dan telah memburukkan nama baik kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Perdana Menteri.
“Tiada siapa yang menghalangnya bercuti namun percutian dalam tempoh lama di luar negara terutamanya dalam musim pandemik ini adalah suatu yang tidak dapat diterima, melainkan atas alasan tugasan rasmi beliau.
“Sebagai timbalan menteri, sudah pasti banyak tugasan yang bertimbun di atas meja yang memerlukan beliau berada di Malaysia.
“Isu pembangunan Kampung Baru misalnya sudah pasti perlukan penelitian untuk diselesaikan tetapi tergamak beliau meninggalkan tugas hakiki semata-mata ingin bercuti melawat keluarga?,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, beliau mempersoalkan tindakan Dr Santhara itu yang disifatkan pentingkan diri.
“Persoalan yang ingin ditanya, bagaimana pula rakyat yang sudah lama tidak menziarahi ibu bapa akibat sekatan rentas negeri yang dilaksanakan?
“Ramai yang tidak dapat hadiri kematian rakan dan saudara mara kerana sekatan rentas negeri akibat pandemik,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, tindakan Dr Santhara sangat tidak bertanggungjawab dan jelas mencemarkan nama baik PN ibarat peribahasa ‘seekor kerbau membawa lumpur, habis semua terpalit.
Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa mengesahkan Dr Santhara telah menamatkan cutinya selama 55 hari dan selamat tiba di tanah air serta sedang menjalani tempoh kuarantin wajib.