JOHOR BAHRU – Polis Johor menyerbu sebuah pusat hiburan di Muar semalam yang didapati beroperasi secara haram dan mengeluarkan kompaun kira-kira RM1.13 juta ke atas 109 pengunjung kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) pematuhan pandemik COVID-19.

Dalam operasi jam 10.45 malam itu, pemilik pusat hiburan berkenaan dikompaun RM50,000 manakala pengunjungnya masing-masing dikenakan kompaun RM10,000 dan merampas beberapa kelengkapan hiburan di premis terbabit.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, operasi tersebut merupakan tangkapan dan kompaun terbesar yang dilakukan pihaknya.

Pengunjung dan pemilik pusat hiburan tersebut membabitkan 81 lelaki dan 28 perempuan berusia 17 hingga 50 tahun.

“Dalam serbuan terbabit, kami mendapati tiada penjarakan sosial dilakukan di pusat hiburan itu yang juga beroperasi tanpa lesen.

“Pusat hiburan itu juga sudah dua kali diserbu dan dikenakan kompaun sebelum ini namun didapati masih beroperasi semula,” katanya dalam sidang media, di sini hari ini.

Kesemua pengunjung dan pemilik pusat hiburan tersebut, bagaimanapun dilepaskan setelah menerima kompaun yang dikeluarkan oleh polis selain mereka bebas daripada ujian saringan air kencing.

Walaupun pengunjung dikenakan kompaun maksimun atas kesalahan terbabit, namun mereka boleh memohon pengurangan kompaun daripada pegawai kesihatan daerah.

Operasi berkenaan merupakan tindakan kompaun terbesar di negara ini sejak kerajaan melaksanakan Ordinan Darurat Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Pindaan) 2021.

“Mengikut ordinan ini mana-mana individu yang melanggar SOP sewaktu tempoh pelaksanaan darurat boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 yang berkuat kuasa pada 11 Mac lalu,”

By admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *