Bekas exco kerajaan Melaka, Datuk Norhizam Hassan Baktee yang terkenal dengan kehebatannya menembak babi berjanji memulangkan kenderaan rasmi kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) selepas tidak lagi memegang jawatan tersebut.

Bekas Exco Pertanian, Penternakan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Melaka itu yang tidak lagi memegang jawatan selepas menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali sehingga tumbang kerajaan negeri berkata akan memulangkan kenderaan tersebut dengan segera, namun mempertikaikan beberapa exco lain yang tidak mengambil tindakan sama.

“Saya tidak mahu kereta itu kerana saya pun ada kereta, tetapi saya tidak puas hati kenapa Exco lain masih dibenarkan menggunakan kenderaan rasmi sedangkan kerajaan negeri sudah tiada?

“Selama ini, saya simpan kereta itu kerana saya marah hanya saya dan Datuk Seri Idris Haron serta Datuk Noor Effandi Ahmad yang diarah memulangkan kereta sedangkan Exco lain bebas ke hulu ke hilir dengan kereta rasmi,” katanya lapor sebuah portal.

Pada 4 Oktober lalu, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebas Pengkalan Batu itu antara empat ADUN yang menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Sulaiman.

Tiga yang lain adalah bekas ADUN Sungai Udang, Idris dan bekas ADUN Pantai Kundor, Datuk Noor Azman Hassan, kedua-duanya sudah digugurkan keahlian dalam UMNO serta bekas ADUN Teluk Mas, Noor Effandi yang juga digugurkan keahlian dalam Bersatu.

Semua Exco Melaka menggunakan kenderaan rasmi Toyota Camry.

Norhizam juga berkata, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Kamel Mohamad tidak perlu cuba ‘menakut-nakutkan’ beliau dan dua bekas EXCO lain dengan tindakan undang-undang terhadap sesiapa yang mendedahkan rahsia Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

Katanya, beliau, Idris dan Noor Effandi tidak mendedahkan rahsia itu, sebaliknya mempersoalkan pembentukan kerajaan sementara Barisan Nasional (BN) yang didakwanya tidak sah.

“Jangan cubalah untuk menakut-nakutkan kami, jangan fikir kami tidak tahu membezakan antara rahsia MMKN dengan soal dasar. Kami tidak pernah mendedahkan rahsia MMKN kerana tahu kami sudah mengangkat sumpah menyimpan rahsia MMKN,” katanya. AD

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *