BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menjelaskan beliau kini tidak lagi mengetuai Gerakan Tanah Air (GTA) kerana parti berkenaan diakuinya sudah tidak berfungsi.

Dr Mahathir berkata, GTA juga tidak pernah berdaftar selama ini dan beliau kini bergerak melalui platform Proklamasi Orang Melayu serta tidak terlibat dengan mana-mana parti politik di negara ini.

Katanya, GTA tidak dapat diteruskan kerana gerakan itu bersama Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) tewas di kesemua kerusi Parlimen yang ditandingi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), November lalu.

“Jawatan Pengerusi GTA itu perkara lama, saya tidak ada (sebarang jawatan) lagi. (Penubuhan) GTA tidak jadi, ia tidak membantu kita (menang PRU15) kerana ia parti politik.

“Kita dapati kalau bergerak sebagai parti, kita tidak boleh menang, kita sudah lawan dalam PRU15, GTA dan Pejuang kalah 125 kerusi,” katanya.

Ditanya platform sebenar beliau menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri, Dr Mahathir berkata, beliau mempunyai tugas untuk menyedarkan orang Melayu untuk bersatu agar tidak hilang kedudukan di Malaysia.

“Sekarang ini kita miskin dan akan jadi lebih miskin kalau tak ada kuasa nak selamatkan orang Melayu.

“Saya sokong semua orang Melayu (pada PRN nanti), bukan parti. Dulu pun saya perjuangkan untuk Melayu, saya sertai Umno sebab Melayu. Saya (masuk) Bersatu pun kerana Melayu. Perjuangan saya mudah sahaja, saya nak selamatkan orang Melayu,” katanya.

Mengulas gelaran ‘Ketua Umum Perikatan Nasional’ yang diberikan kepadanya, Dr Mahathir berkata, mereka hanya meminta orang yang bersetuju dengan Proklamasi Orang Melayu untuk menurunkan tandatangan kerana gerakan itu bukanlah bersifat parti tetapi atas dasar kaum tersebut.

“(Kita berbincang) dengan semua orang yang menyertai proklamasi ini. Ramai yang menyertainya adalah orang yang tiada parti, ada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan ada dalam (kalangan ahli) parti politik.

“Semua kita terima. Saya bergambar dengan PAS, saya juga bergambar dengan (Tan Sri) Annuar Musa, dengan semua orang. Saya kira orang Melayu, saya bukan kira parti,” katanya.

Februari lalu, Dr Mahathir mengumumkan keluar Pejuang bersama 12 ahli lain berikutan tindakan parti berkenaan memutuskan hubungan bersama GTA, namun kekal sebagai Pengerusi GTA.

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *