SEORANG pemimpin Amanah hari ini menyindir pihak yang menggunakan retorik politik dengan membuat pelbagai tuduhan terhadap parti yang ‘berkawan’ dengan DAP.

Menurut Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar, retorik itu digunakan parti-parti politik termasuk Bersatu dan Umno demi menarik sokongan orang Melayu.

Katanya, segalanya bermula selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat dari Umno dan beliau berjaya menyatukan pembangkang termasuk yang mula bekerjasama dengan DAP.

“PAS berkawan dengan DAP. Umno tuduh PAS jadi kuda tunggangan DAP.

“Selepas itu (Tan Sri) Muhyidin (Yassin) dipecat dari Umno dan sertai Pakatan Harapan (PH). Bersatu pun berkawan dengan DAP. Umno tuduh Bersatu jadi khadam DAP.

“Sekarang BN kalah teruk dan bentuk kerajaan bersama PH. Umno pun berkawan dengan DAP. PAS dan Bersatu pula tuduh Umno jadi boneka DAP,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Tambah Mahfuz yang juga Pengerusi PH Kedah, dengan kerjasama Umno dan PH yang turut disertai DAP, maka kitaran dalam parti-parti politik menggunakan retorik sama telah sempurna.

“Kitaran ini telah pun sempurna. PAS, Bersatu dan Umno semuanya pernah jadi kuda tunggangan, khadam dan boneka DAP.

“Itulah retorik politik Melayu dari dulu sampai sekarang.

“Nak tarik sokongan Melayu, mesti tuduh pihak lawan yang berkawan dengan DAP melalui pelbagai tuduhan. ‘Substance’ tidak ada… hanya main wayang sahaja,” katanya. – MP

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *