Polis telah membuka dua kertas siasatan berhubung lukisan gambar tidak senonoh yang dilukis pada dinding Balai Seni Sasaran, di sini.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, ini susulan laporan diterima pihaknya daripada orang awam semalam.

Katanya, siasatan awal dijalankan mendapati permohonan projek lukisan daripada Persatuan Kesenian Sasaran Kuala Selangor telah mendapat kelulusan daripada Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) pada 22 Mac lalu.

Bagaimanapun, MDKS tidak secara jelas diberitahu bentuk dan jenis mural yang akan dilukis pada dinding tersebut.

“Siasatan dari pelukis lukisan menyatakan bahawa lukisan itu perlu dilukis mengikut lapisan demi lapisan sehingga selesai. Tiada unsur-unsur mural yang dilukis ini mencetuskan perbalahan antara kaum atau menghina mana-mana pihak berkenaan.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes kini disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, Yang Dipertua MDKS, Rahilah Rahmat memberitahu, pihaknya memandang serius dakwaan pelayar media sosial mengenai gambar lukisan Balai Seni Sasaran Kuala Selangor yang tular di media sosial.

Beliau menjelaskan maklumat awal yang diterima oleh MDKS pukul 7 malam adalah lukisan tersebut masih dalam 20 peratus proses lakaran dan lukisan tersebut menjadi tular di media sosial.

“Sehubungan itu, MDKS telah mengarahkan pelukis untuk menyiapkan bahagian yang sensitif dengan kadar segera dalam tempoh tiga jam dan disempurnakan pukul 10 malam.

“Lukisan itu telah siap 40 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada atau sebelum 26 April ini,” katanya.

Terdahulu, Kosmo Online melaporkan satu lukisan mural yang memaparkan aksi lucah tiga wanita pada dinding bangunan milik sebuah persatuan seni di Jalan Sungai Buloh, Jeram, Kuala Selangor dekat sini mengundang kecaman netizen dan penduduk setempat. K! ONLINE

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published.