Pimpinan dan ahli-ahli Parlimen Umno yang sebelum ini dilihat menjadi “barisan hadapan” mengkritik presiden Ahmad Zahid Hamidi tidak lagi bersuara selepas pelantikan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri ke-10. 

Perkembangan itu menimbulkan persoalan mengenai pendirian mereka terhadap pembentukan kerajaan antara Barisan Nasional (BN) dan PH bersama parti komponennya, DAP. 

Antaranya, Ahli Parlimen Sembrong Hishammuddin Hussein yang dilaporkan beliau sedia dipecat oleh parti sekiranya BN bekerjasama dengan PH untuk membentuk kejayaan. 

Beliau yang juga bendahari agung BN sebelum ini beberapa kali mengatakan bahawa pendiriannya terhadap perkara itu adalah teguh dan tidak akan berubah. 

“Tahniah kepada Anwar Ibrahim atas pelantikan sebagai perdana menteri Malaysia yang ke-10. 

“Selamat menjalankan amanah dan tanggungjawab demi rakyat dan tanah air,” tulis Hishammuddin pada siaran terbarunya di Facebook. 

Sementara itu, Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob yang menjadi antara individu dalam pimpinan parti menyangka kerjasama dengan PH juga tidak lagi menyentuh mengenai perkara tersebut. 

Awal minggu lalu, anak perempuannya mendedahkan perbualan antara Ismail bersama pemimpin Umno dalam aplikasi WhatsApp tidak bersetuju dengan kerjasama bersama PH.  

Perbualan tular itu menunjukkan beliau sama sekali tidak akan menjalin kerjasama dengan PH, malah lebih rela dipecat oleh partinya sendiri. 

Bagaimanapun, pada hantaran terbaru di media sosial, Ismail merakamkan ucapan penghargaan kepada rakyat Malaysia yang memberi sokongan ke atas pentadbirannya selain mengucapkan tahniah kepada pelantikan Anwar sebagai perdana menteri.

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *