Ahli Parlimen PKR yang juga merupakan orang kuat kepada Anwar Ibrahim, memuji bekas perdana menteri Najib Razak dalam sebuah forum yang disiarkan sebuah stesen televisyen tempatan malam tadi.

Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya Shamsul Iskandar berkata, bekas perdana menteri Najib Razak menunjukkan kepimpinannya apabila membiarkan Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kuasa selepas Barisan Nasional (BN) kalah pada pilihan raya 2018.

“Cuba kita tengok, Najib. Saya pernah sebut di dalam Dewan Rakyat. ‘He’s the most hated prime minister,” kata ketua penerangan PKR itu dalam program “Agenda Awani: Dialog Konsensus Nasional” yang disiarkan di Astro Awani malam tadi.

“Tapi bila kalah PRU14, dia hand over. Waktu tu kita ada macam-macamlah yang kita mainkan, ada ‘National Security Council’, boleh buat huru-hara dan sebagainya, itu tidak berlaku.”

Shamsul berkata, Najib menunjukkan kepimpinannya dengan menyerahkan kuasa kepada PH pada ketika itu secara aman.

“Sekarang ini, kita nak mintak Muhyiddin (Yassin), hentikan ‘uncertainty’. Bawak pergi Parlimen buat ‘vote of confidence’, tunjukkan perdana menteri ada confidence,” katanya.

Kenyataan ini menguatkan lagi dakwaan PKR bekerjasama dengan “kluster mahkamah” Umno, merujuk kepada pemimpin-pemimpin parti itu yang berdepan dengan pendakwaan rasuah di mahkamah dan sudah disabitkan bersalah.

Minggu lalu, Anwar mendedahkan perbincangan sudah bermula antara PKR dan Umno dalam satu wawancara bersama akhbar berbahasa Melayu.

Bagaimanapun, pendedahan Anwar itu tidak mendapat reaksi yang baik daripada beberapa ahli Parlimen PH dan pembangkang yang menyelar kerjasama secara terbuka.

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published.